Artikel

Zoo Negara Kemuka Cadangan Kepada MKN, Berharap Operasi Dapat Dibuka Ketika PKPB

Sekiranya Zoo Melaka sebelum ini boleh dibuka, mengapa tidak Zoo Negara?

Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh pihak Zoo Negara berhubung status operasi mereka disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 12 Oktober lalu.

Sebelum ini Zoo Negara telah memaklumkan bahawa pihaknya sedang berdepan dengan krisis kewangan disebabkan pandemik COVID-19.

Ternyata pelaksanaan PKPB telah meruncingkan lagi perolehan pendapatan mereka. Ia turut ditambah bebanan kos tanggungan haiwan serta kakitangan syarikat yang dianggarkan sekitar RM1 juta sebulan.

Zoo Negara telah mengusulkan cadangan serta garis panduan kepada Majlis Keselamatan Negara berhubung permohonan pembukaan operasi mereka ketika PKPB.

Antara usul yang digariskan adalah pihaknya akan mengehadkan 1,500 pengunjung sahaja secara berperingkat dalam masa sehari.

Mengulas lanjut permohonan tersebut, meskipun sambutan yang diterima Zoo Melaka kurang memberangsangkan namun ia masih dibuka dan kelonggaran harus diberikan kepada pihak Zoo Negara.