Artikel

Prestasi Pasaran Saham Negara Alami Penurunan Sejak Ogos 2020

Peningkatan kes COVID-19 ternyata memberi kesan kepada prestasi pasaran saham negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI).

Untuk makluman, FBMKLCI adalah senarai indeks 30 syarikat utama Malaysia berdasarkan permodalan pasaran pada papan utama Bursa Malaysia.

Berdasarkan tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Sorotan Statistik Ekonomi menunjukkan penurunan telah dicatatkan pada pasaran saham sejak Ogos 2020.

Faktor tersebut telah didorong dari hasil peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini. Penurunan tersebut kekal diparas yang sama sehingga akhir Oktober 2020.

Malah, prestasi menurun itu kekal berterusan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibeberapa buah negeri.

Meskipun prestasi FBMKLCI merundum sekitar 7.7% berbanding data Januari 2020 dengan mencatatkan 1,466.89 mata pada akhir Oktober 2020 namun prestasinya dilihat lebih baik berbanding carta serantau.

Di mana, Jakarta Stock Echange Composite Index (JCI), Philippine Stock Exchange Composite Index (PCOMP), Stock Exchange of Thailand (SET) dan Straits Times Index (STI) menurun sebanyak 18.6%, 19.1%, 24.4% dan 24.8%.