Artikel

Belanjawan 2021 – Lulus Peringkat Dasar, Jadi Apa Seterusnya?

Perkara asas dalam kewibawaan sesebuah Parlimen adalah dasar kepercayaan ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna keputusan kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada ketika ini bergantung kepada kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Ia selari dengan Perkara 43(3) iaitu tanggungjawab bersama dalam Perlembagaan Persekutuan menggariskan jemaah Menteri perlulah bertanggungjawab bersama ahli Parlimen.

Setelah bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua dilakukan – pada sidang Dewan Rakyat semalam, kerajaan telah memperolehi sokongan majoriti bagi peringkat dasar oleh ahli Parlimen.

Perolehan sokongan majoriti ini secara jelasnya didorong hasil penambahbaikan peruntukan yang telah dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul.

Antara peruntukan tambahan yang dimaklumkan adalah pemberian bonus kepada petugas barisan hadapan, perluasan tempoh moratorium kepada pihak yang terkesan, penambahan jumlah pencarum pada pengeluaran Akaun 1 KWSP i-SINAR dan peruntukan bantuan kepada belia, pendidikan.

Langkah penambahbaikan itu secara tidak langsung menunjukkan keutamaan kerajaan adalah kebajikan rakyat negara.

Meskipun, sokongan majoriti telah dicapai pada peringkat dasar – namun sokongan pada peringkat seterusnya iaitu perbahasan jawatankuasa masih tidak diketahui. Di mana ia akan menentukan sama ada undian majoriti dapat dicapai atau tidak pada sidang Dewan Rakyat minggu hadapan.

Pada peringkat jawatankuasa, semakan lebih terperinci akan dilakukan berkenaan fasal yang terkandung dalam RUU. Pindaan akan dilakukan ke atas sebuah peruntukan sekiranya ia dilihat tidak memadai dengan momentum ekonomi ketika ini.

Perbahasan, kritikan dan teguran akan dilakukan mengikut turutan berdasarkan penggulungan setiap kementerian pada sidang isnin hadapan.

Malah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan pihaknya tidak akan memberi laluan yang mudah pada semakan peringkat jawatankuasa. Ini kerana pelbagai persoalan berhubung peruntukan tambahan dan hasil perolehan kerajaan masih tidak diberi penjelasan yang ketara dan kukuh kepada ahli parlimen.

Berdasakan tinjauan Rnggt pada medium Twitter – sehingga 27 November seramai 313 individu telah terlibat pada persoalan ciapan berhubung kelulusan Belanjawan 2021. Ternyata 69% daripada jumlah tersebut berpendapat Belanjawan 2021 tidak lulus, sementara itu 10.9% pula berpendapat usul peruntukan itu wajar untuk lulus.

Manakala 20.1% lagi masih tidak ketahui kewajaran usul Belanjawan 2021 tersebut. Bagaimanapun, peratusan sebenar hanya akan diketahui pada sidang jawatankuasa hadapan – berkenaan pengundian keseluruhan RUU Perbekalan 2021.