Artikel

Kerajaan Guna Dividen Khas Petronas Untuk Langsaikan Tunggakan GST RM24.7 Bilion

Kerajaan telah membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta cukai pendapatan berjumlah RM24.7 bilion daripada RM37 bilion tunggakan kepada pembayar cukai setakat 30 Jun lalu.

Perkara ini diumumkan oleh Kementerian Kewangan semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata bayaran itu dibuat daripada dividen khas yang diterima kerajaan daripada Petronas.

Dividen khas yang diterima oleh Petronas telah diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018.

“Bayaran semula tunggakan itu meredakan isu aliran tunai yang dihadapi para usahawan sekaligus menjadi rangsangan kepada ekonomi,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2019, anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Guan Eng menjangkakan kerajaan dapat melunaskan pembayaran RM37 bilion tunggakan tersebut, dan ini hanya dapat dilaksanakan disebabkan pertukaran kerajaan.