Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Abdul Rahman Ahmad akan meninggalkan syarikat apabila kontrak beliau tamat pada 30 September 2019.
Setelah bersama PNB selama tiga tahun, Dato’ Abdul Rahman bakal mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Sime Darby Berhad (SDB) sebaik sahaja Tan Sri Dato’ Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bersara pada 31 Oktober 2019, seperti yang diumumkan oleh syarikat berkenaan. SDB adalah salah satu syarikat strategik utama PNB di mana institusi tersebut memiliki ekuiti sebanyak 52%.
Bagi mengambil alih jawatan Dato’ Abdul Rahman, Encik Jalil Rasheed akan dilantik sebagai Presiden & Ketua Eksekutif PNB yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2019. Pada masa ini, Encik Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara. Sebelum ini, beliau berpangkalan di luar negara dan pelantikan baharu di PNB adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset di peringkat global.
Encik Jalil memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan & Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom. Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada tahun 2010. Encik Jalil kemudiannya meninggalkan Aberdeen untuk menerajui syarikat Invesco sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Selatan) pada tahun 2013, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga kini.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz merakamkan penghargaan beliau kepada Presiden &Ketua Eksekutif Kumpulan tersebut dengan berkata, “Bagi pihak ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB, serta Pengurusan dan semua Rakan Sekerja, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dato’ Abdul Rahman atas segala sumbangan beliau kepada PNB dan syarikat-syarikat dalam kumpulan, sepanjang tempoh tiga tahun beliau di sini. Kami berhasrat untuk terus bekerja bersama dengan beliau dalam perananyang baharu di Sime Darby Berhad.”
PNB mendukung standard tadbir urus korporat yang tertinggi di seluruh operasi termasuk pelantikan bagi jawatan-jawatan pimpinan penting. Petang ini, PNB telah menyempurnakan semua proses kelulusan bagi pelantikan yang diumumkan di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, serta Lembaga Pengarah PNB dan juga pihak badan kawal selia.
Sehubungan itu, Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan kehadiran Encik Jalil yang membawa bersama beliau pengalaman yang luas dalam menguruskan pelaburan global dan percaya beliau mampu untuk memimpin PNB ke arah menjadi institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia.