Artikel

FDI Malaysia Meningkat Kepada RM667.5 Bilion Bagi Suku Kedua 2019

Apa yang sedang berlaku: Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah stok pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia telah meningkat sebanyak 10.3% kepada RM667.5 bilion dalam suku kedua 2019, daripada RM605.1 bilion pada tahun lalu. Peningkatan jumlah stok FDI secara berterusan ini menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa, sewaktu dunia dilanda perang perdagangan.

Kenapa ini penting: Pertumbuhan ekonomi yang mampan merupakan salah satu sebab di sebalik peningkatan stok FDI negara. Dalam suku yang sama, KDNK Malaysia berkembang 4.9% tahun-ke-tahun, iaitu lebih pesat berbanding pertumbuhan 4.5% untuk suku pertama 2019. Pengembangan KDNK Malaysia ini berlangsung ketika ekonomi serantau mengalami kelembapan pertumbuhan. Kerajaan menjangkakan KDNK akan berkembang antara 4.5%-5.0% tahun ini, berdasarkan tren di separuh pertama tahun ini.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengumumkan bahawa FDI diluluskan untuk semua sektor telah meningkat sebanyak 97.2% kepada RM49.5 bilion dalam separuh pertama 2019, daripada RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Apa selepas ini: MIDA menyatakan bahawa FDI pembuatan yang diluluskan bernilai RM33.1 bilion ini akan mencipta sebanyak 30,449 peluang pekerjaan dalam masa terdekat. Kerajaan akan terus mengekalkan pendekatan mesra perniagaan (business-friendly) untuk menarik pelaburan ke dalam negara dan mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.