Artikel

Utusan Akui Sedang Berdepan Pelbagai Komplikasi

Apa yang sedang berlaku: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd kini sedang berdepan dengan pelbagai komplikasi. Menurut pelaporan, dijangka Utusan Melayu akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia rentetan masalah kewangan yang dihadapi serta kegagalan pihak mereka dalam mencari pelabur baharu. Turut difahamkan permasalahan ini bermula sejak Jun lalu.

Khabar angin: Mengikut spekulasi setelah mengambil kira kerugian yang ditanggung dalam dua suku pertama tahun 2019 dan kekangan aliran tunai, Utusan Melayu dilihat tidak memenuhi keperluan Bursa untuk meningkatkan status PN17. Kumpulan ini juga gagal mencari mana-mana pelabur yang berpotensi. Perkara ini disebabkan oleh liabiliti yang besar.

Kenyataan semasa: Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir – Pengerusi Eksekutif mengakui bahawa Utusan Melayu pada ketika ini sedang mengalami kekangan kewangan. Kenyataan lain yang turut dikongsikan adalah Utusan Melayu bakal menghentikan operasi mereka pada Rabu ini – namun kenyataan ini masih tiada sebarang hitam putih dari pihak pengurusan.

Apa selepas ini: Pihak Utusan Melayu juga sedar bahawa sebarang tindakan boleh diambil oleh Bursa selepas tarikh perggantungan diberikan. Walau bagaimanapun, untuk maklumat lanjut masih menunggu kenyataan rasmi dari pihak Utusan Melayu.