Artikel

RM3.83 Juta Kompaun Dikenakan Terhadap Beberapa Syarikat Telekomunikasi

Apa yang sedang berlaku: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenakan sebanyak 107 kompaun, bernilai RM3.83 juta, terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia. Jumlah nilai kompaun yang dikenakan terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi sehingga 31 Julai 2019 melebihi 20.4% daripada jumlah nilai kompaun keseluruhan tahun 2018.

Kenapa ini penting: Perlindungan pengguna adalah motif utama kompaun dikenakan. MCMC berkata, antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir Prabayar, Kod Amalan Am Pengguna dan Standard-Standard Mandatori.

Siapakah syarikat yang terbabit: Untuk tempoh April 2019 sehingga 31 Julai 2019, MCMC telah mengeluarkan sebanyak 44 kompaun bernilai RM1.51 juta. Dari 44 kompaun ini, YTL Communications Sdn Bhd telah dikenakan kompaun tertinggi dengan 15 kompaun bernilai RM750,000. Ini diikuti dengan syarikat Symphonet Sdn Bhd yang dikenakan 15 kompaun bernilai RM150,000 dan Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak enam (6) kompaun bernilai RM250,000. Syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Enabling Asia Tech Sdn Bhd masing-masing dikenakan sebanyak dua (2) kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000 manakala syarikat Celcom Axiata Berhad, Tune Talk Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd pula masing-masing dikenakan satu (1) kompaun dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM160,000.

Apa selepas ini: Tindakan ini membuktikan ketegasan pihak MCMC dalam menangani isu-isu yang membabitkan kepentingan pengguna. Usaha ini akan berterusan untuk memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi menawarkan perkhidmatan yang bermutu, selain melindungi dan memantapkan hak pengguna.