Artikel

Perkembangan Ekonomi Dan Kewangan Di Malaysia Pada Suku Kedua 2019

Ekonomi Malaysia meningkat 4.9% pada suku kedua 2019

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 4.9% pada suku kedua (S1 2019: 4.5%), disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang lebih tinggi. Dari segi penawaran, sektor perlombongan kembali mencatatkan pertumbuhan positif, didorong terutamanya oleh pemulihan dalam pengeluaran gas asli. Pertumbuhan sektor perkilangan meningkat sedikit, hasil sokongan prestasi industri berasaskan pasaran dalam negeri yang lebih baik. Sektor perkhidmatan terus berkembang berikutan pertumbuhan mampan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit. Berdasarkan pelarasan bermusim suku tahunan, ekonomi negara meningkat 1.0%.

Pada suku kedua, inflasi keseluruhan secara puratanya adalah lebih tinggi, terutamanya mencerminkan luputnya kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada kadar sifar yang dilaksanakan pada bulan Jun 2018. Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan, tidak berubah pada 1.6%.

 

Perkembangan kadar pertukaran

Pada suku kedua, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.5% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh aliran keluar portfolio bukan pemastautin berikutan sentimen pelabur yang masih lagi lembap disebabkan oleh prospek pertumbuhan dunia yang kian perlahan dan juga berpunca daripada ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat. Kesemua ketidaktentuan ini nyatamasih ketara lantas terus menjejaskan kesanggupan para pelabur untuk mengambil risiko dalam pasaran kewangan serantau, termasuk Malaysia. Dalam tempoh 1 Julai hingga 15 Ogos, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.2% berbanding dengan dolar AS. Sejak awal tahun hingga kini, ringgit telah menyusut nilai sebanyak 1.3% berbanding dengan dolar AS dan trend ini sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau. Pada masa akan datang, gabungan faktor global akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau, termasuk ringgit.

 

 

Keadaan pembiayaan

Keadaan pembiayaan secara keseluruhannya konsisten dengan kadarpertumbuhan ekonomi semasa, dengan permintaan untuk pembiayaan menunjukkantanda-tanda akan menjadi bertambah baik memandangkan permohonan pinjaman meningkat pada suku tersebut. Pengeluaran pinjaman yang berterusan kepada semua segmen ekonomi, termasuk PKS dan untuk pembelian rumah, terus menyokong kegiatan ekonomi.

 

Ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yangstabil pada masa akan datang

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktiviti sektor swasta. Namun, sektor luaran dijangka terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan ekoran ketegangan perdagangan yang masih berlarutan. Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan asas (baseline projection) menunjukkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3% hingga 4.8% pada tahun 2019.

Inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata yang lebih tinggi pada separuh kedua 2019 berbanding dengan separuh pertama tahun ini. Hal ini adalah berikutan luputnya kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan. Inflasi asas diunjurkan kekal stabil, disokong oleh pengembangan aktiviti ekonomi yang berterusan dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.