Artikel

SC Umum Pengaturan Semula Organisasi Dan Pelantikan Pengurusan Kanan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pengaturan semula organisasi dan beberapa pelantikan pengurusan kanan bagi memperkukuh kedudukan pengawal selia ini untuk memacu perubahan dalam ekosistem pasaran modal dan memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang semakin berkembang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, kini mempunyai penyeliaan langsung terhadap fungsi pengawasan dan pemantauan serta kumpulan urusan Sumber Korporat yang diperluaskan, yang kini merangkumi jabatan Teknologi dan Pembangunan Manusia dan Organisasi.

Nadiah Abdullah telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Sumber Korporat SC yang baharu berkuat kuasa 5 Ogos 2019. Beliau menggantikan Tengku Zarina Tengku Chik, yang memegang jawatan baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Securities Industry Development Corporation (SIDC) berkuat kuasa 1 September 2019. Nadiah mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pengurusan perundingan, transformasi korporat, kepimpinan dan pengurusan bakat serta integrasi perniagaan dan teknologi Accenture Sime Darby Bhd dan AirAsia Bhd.

Sejajar dengan visi SC untuk menggalakkan inovasi bagi memacu kelebihan daya saing dalam pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan & Pasaran Islam akan diasingkan bagi memudahcarakan tumpuan yang lebih jelas terhadap pembangunan jangka yang lebih panjang bagi pasaran modal dan pasaran modal Islam yang lebih meluas.

Salmah Bee Mohd Mydin, yang telah berkhidmat dengan SC selama 25 tahun dalam pelbagai peranan termasuk penguatkuasaan, pengawasan dan pelesenan, telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif kumpulan urusan Pembangunan Pasaran berkuat kuasa 1 Ogos 2019.

Untuk membangunkan lebih banyak dasar menyeluruh yang akan memacu pertumbuhan masa depan dan daya saing pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan Pasaran akan mengendalikan perancangan dan strategi korporat keseluruhan SC. Fungsi ni akan diketuai oleh Dr Wong Huei Ching, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah.

Sharifatul Hanizah Said Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC ketika ini, akan menyertai SC sebagai Pengarah Eksekutif untuk mengetuai kumpulan urusan Pembangunan Pasaran Modal Islam berkuat kuasa 10 Ogos 2019.