Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam Belas pada 30 Julai 2019.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, telah mempersembahkan duit syiling peringatan ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Julai 2019 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM1,800 sekeping. Sebanyak 300 keping ditempa.
Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM200 sekeping. Sebanyak 1,500 keping ditempa.
Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM12 sekeping. Sebanyak 20,000 keping ditempa.
Terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu, yang mengandungi satu duit syiling perak pruf dan satu duit syiling emas Nordic pruf. Setiap set dijual pada harga RM230 dan terdapat 1,000 set sahaja.