Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri telah sekali lagi menyuarakan kebimbangan mengenai sekatan penggunaan minyak sawit dalam bahan api bio oleh Kesatuan Eropah (EU) di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Malaysia menekankan bahawa industri kelapa sawit Malaysia komited dalam menghasilkan minyak sawit selaras dengan piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang akan dilakasanakan secara mandatori menjelang 31 Disember 2019.
Malaysia menggesa Kesatuan Eropah untuk menerima dan mengiktiraf skim pensijilan MSPO sebagai salah satu skim sukarela di bawah EU RED II bagi pensijilan penggunaan perubahan guna tanah secara tidak langsung yang rendah untuk bahan api bio dan bahan cecair bio.
Malaysia juga menyuarakan kebimbangan pelaksanaan EU RED II berkali-kali di platform WTO sejak 2018 dan usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan.
Kebimbangan Malaysia juga turut disokong oleh negara pengeluar minyak sawit utama seperti Indonesia, Colombia, Guatemala, Honduras dan Ecuador.
Kementerian MITI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama untuk memanfaatkan sepenuhnya dan menggunakan pelbagai platform WTO demi memastikan kepentingan eksport minyak sawit dan pekebun-pekebun kecil terus terpelihara.
Selain daripada itu, Kerajaan juga akan terus mengkaji inisiatif bagi meningkatkan penggunaan biodiesel di pasaran domestik sebagai alternatif sekiranya eksport minyak sawit ke pasaran EU terjejas dengan pelaksanaan EU RED II.
Bagi sektor pengangkutan, Malaysia telah melaksanakan program B10 bermula Februari 2019.
Pada masa ini, MITI dan MPI sedang dalam proses melaksanakan cadangan penggunaan biodiesel B20 pada tahun 2020 dan B30 pada tahun 2025 atau lebih awal.