Artikel

Junior Cho Ketua Pegawai Eksekutif Baharu Zurich General Insurance Malaysia Berhad

Zurich Malaysia telah mengumumkan perlantikan Junior Cho sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) berkuatkuasa 15 Julai lalu.
Dalam peranan ini, Junior akan bertanggungjawab memacu strategi perniagaan Zurich bagi mencapai pertumbuhan keuntungan bagi perniagaan insuran amnya di Malaysia.
Beliau menggantikan David Fike, yang kini memegang jawatan di peringkat serantau dalam Zurich Insurance Group; dan akan melapor kepada Lembaga Pengarah ZGIMB.

Junior merupakan seorang Ketua Industri yang berpengalaman lebih daripada 25 tahun di dalam sektor insuran dan perkhidmatan kewangan.

Beliau sebelum ini telah memegang pelbagai jawatan strategik dan pengurusan kanan dalam bidang strategi perniagaan, jualan, pemasaran, pengedaran, penguruasan pelanggan, operasi dan teknologi di syarikat-syarikat multinasional seperti Metlife International, Allianz Life dan Cigna International.

Sebelum menyertai Zurich Malaysia, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect dan bertanggungjawab dalam memantau perniagaan insuran am di Malaysia, Thailand dan Timur Tengah.

Junior menyertai ZGIMB pada September 2016 sebagai Naib Presiden Kanan dan Ketua Pengurusan Pasaran.

Selama tiga tahun yang lalu, beliau memainkan peranan penting dalam membina bahagian perniagaan am Zurich Malaysia; mengetuai jualan insuran am dan takaful am melalui pembangunan proposisi strategik perniagaan, mengukuhkan saluran pengedaran dan pelaksanaan inisiatif digital yang memberikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan agen dan pelanggannya.

Junior memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Columbia di New York. Beliau memulakan kerjaya bersama firma konsultansi global, Accenture di New York, sebelum menceburi industi insuran.