Artikel

KATS Menggesa Peranan Semua Pihak Bagi Tangani Isu Pencemaran Sungai

Menteri YB Dr. Xavier Jayakumar – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah menggesa semua pihak dan agensi yang terlibat untuk memainkan peranan mencegah aktiviti yang mampu memudaratkan sungai sebagai sumber air mentah utama negara.

Perihal ini merujuk kepada insiden penangguhan proses loji rawatan air oleh Pengurusan Air Selangor (AiS) bermula Jumaat lalu – 19 Julai 2019. Insiden tersebut dikatakan berpunca daripada pencemaran bau pada sumber air mentah. Pencemaran tersebut telah menyebabkan AiS bertindak untuk menutup tiga Loji Rawatan Air utama mereka iaitu:

  • Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta
  • Loji Rawatan Air Rantau Panjang

Proses hentian tugas ini dilakukan bagi mengelakkan air tercemar sewaktu pemprosesan dijalankan dan diagihkan kepada para pengguna.

Sehubungan itu, hampir 5 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas akibat insiden terbabit. Agensi berkaitan – AiS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Indah Water Konsortium telah mengerahkan tenaga kerja bagi mempercepatkan pemulihan termasuk mengenalpasti punca pencemaran melalui ujian yang dilaksanakan di Batang Kali, Selangor semalam.

YB Dr. Xavier turut menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar – MESTECC untuk terus peka akan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlangsung di kawasan seliaan mereka. Malah, langkah proaktif pencegahan perlu diambil melalui aktiviti pengauditan secara berterusan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran sungai sama ada di negeri Selangor mahupun di lain-lain negeri.

Berikutan proses pemulihan tersebut, AiS telah mengumumkan penangguhan bagi proses penambahbaikan di Logi SSP1 yang pada asalnya yang akan berlansung pada 23 hingga 26 Julai ini. Kerja pemulihan sumber tercemar kini sedang dijalankan secara berperingkat dan dijangka akan siap pada 24 Julai ini.