Artikel

Perbankan Maya Kini Menjadi Fokus Ramai Pihak – Axiata Dan Grab Turut Dilaporkan Berminat

Perkembangan teknologi yang pesat turut membawa kepada kesan positif dalam arena kewangan. Terbaru, salah satu perkara yang hangat diperkatakan adalah berkaitan dengan perbankan maya atau turut dikenali dengan terma Virtual Bank dalam bahasa Inggeris.

Perbankan maya membolehkan sesuatu penyedia menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan secara digital sepenuhnya dan tidak lagi mempunyai cawangan fizikal seperti pada hari ini.

Buat masa ini, pihak CIMB telah pun memperkenalkan perbankan maya mereka, tetapi di Filipina. Melaluinya, pengguna di Filipina boleh membuka akaun perbankan mereka menerusi sebuah aplikasi khas dalam tempoh hanya kurang 10 minit. Seterusnya, pengguna turut boleh membuat simpanan, menikmati kadar faedah atas simpanan, dan sejumlah aktiviti perbankan lain – termasuk mengeluarkan wang daripada pelbagai lokasi dan ATM di Filipina.

CIMB Octo

Di Malaysia perbankan maya ini masih belum diperkenalkan. Bank Negara Malaysia dijangka hadir dengan peraturan untuk perbankan maya dan penawaran lesen untuknya dalam masa terdekat ini.

Walaubagaimanapun, telah hadir beberapa spekulasi mengatakan pelbagai pihak berminat untuk menyertai arena ini. Menariknya, perbankan maya ini bukan sahaja menarik perhatian bank-bank sedia ada, tetapi juga syarikat memfokuskan teknologi sepenuhnya – seperti pihak Grab dan juga Axiata Digital (yang popular dengan penawaran dompet nirtunai Boost) dilaporkan berminat untuk perbankan maya ini.

Dengan penghujung tahun yang menjelang tiba, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut dalam arena perbankan maya di Malaysia ini.