Artikel

Bank Islam Ceburi Sektor Dompet Digital

KiplePay dan BerryPay merupakan rakan perniagaan terbaharu Bank Islam Malaysia Berhad.

Ketiga-tiga pihak telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman untuk menawarkan kemudahan transaksi kewangan melalui kiriman wang mudah alih dan platform dompet digital (e-wallet).

Menerusi pemeteraian memorandum berkenaan, BerryPay akan menyediakan perkhidmatan pengiriman wang mudah alih bagi kemudahan pemegang akaun pekerja asing dengan menghubungkan mereka melalui akaun bank maya dalam sistem perbankan digital yang unik kepada penerima lain dan sebaliknya.

Melalui kerjasama dengan Bank Islam, BerryPay berhasrat untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk pekerja asing dalam sektor perladangan, pemindahan dana rakan setaraf serta pembayaran rentas sempadan untuk para pelanggannya.

Sementara itu, KiplePay adalah penyedia perkhidmatan dompet digital berlesen Bank Negara Malaysia. Ia menyediakan perkhidmatan gerbang pembayaran tanpa tunai (nirtunai) untuk perniagaan dan dompet digital untuk pengguna.

Melalui kerjasama ini, KiplePay dan Bank Islam berhasrat untuk memperkasakan komuniti tanpa tunai terutamanya dalam sektor pendidikan dan menyokong pertumbuhan pesat dalam segmen pembayaran bagi industri e-dagang.

Sebagai permulaan, KiplePay akan memperkenalkan saluran pembayaran baharu untuk Bank Islam melalui kod QR, yang berupaya untuk melaksanakan transaksi tambah nilai perkhidmatan mudah alih serta pemasaran dalam aplikasi kepada pengguna.