Artikel

Adakah Malaysia Sasaran Pembuatan Apple Yang Seterusnya?

Nikkei Asian Review sebelum ini telah melaporkan bahawa syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) Apple bakal memulakan percubaan untuk membuat fon telinga Wireless AirPods di Vietnam.

Pemindahan pembuatan dari China ke negara lain, seperti ke Vietnam adalah antara usaha Apple untuk mengurangkan risiko kepada perniagaan mereka susulan perang pemerdagangan yang sedang berlaku antara China dan AS.

Apple ingin mempercepatkan pelan mereka untuk mempelbagaikan pembuatan elektronik pengguna di luar China.

Goertek China, salah satu pengilang kontrak utama Apple, akan mula menguji daya tahan proses pembuatannya untuk generasi terbaru AirPods di kilang audio syarikat di utara Vietnam, Nikkei memetik dua sumber yang tahu tentang rancangan ini.

Sekiranya Nikkei membuat laporan yang tepat, maka ini memberi gambaran yang jelas bahawa Apple sedia untuk memindahkan proses pengeluaran mereka keluar dari China dan memasuki pasaran lain, terutamanya di negara-negara Asia Tenggara.

Malaysia adalah antara negara yang berada di dalam senarai ini, mengikut sumber.

Antara sebab mengapa Malaysia tersenarai pendek oleh Apple termasuk nilai ringgit yang jauh lebih rendah berbanding Dolar AS, tenaga kerja yang mempunyai gaji yang rendah berbanding negara-negara jiran, dan hubungan diplomatik yang baik antara AS dengan Malaysia.