Artikel

Perutusan Tahun Baharu 2020 Tun M Lebih Bermakna

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusan tahun baharu 2020 dengan nada yang lebih bermakna.

Beliau memulakan perutusannya dengan mengingatkan orang ramai bahawa cabaran untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 masih belum dapat dikecapi.

Namun demikian, beliau tetap optimis bahawa cabaran ini mampu dikecapi dengan sasaran Kemakmuran Bersama 2030.

Ini adalah 3 perkara penting yang perlu diamati menjelang tahun 2020.

Usaha Memakmurkan Negara

Tun Mahathir menekankan bahawa Kerajaan tidak boleh bersikap berserah dalam memikirkan strategi untuk kemajuan pembangunan negara.

Isu ini penting kerana ia melibatkan usaha dan inisiatif kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat.

Seterusnya, kerajaan juga, menerusi agensinya – telah memperkenalkan beberapa dasar tertentu kepada rakyat bagi memastikan rakyat mampu memaksimakan hasil dari industri, contohnya seperti keuntungan kelapa sawit yang diperolehi.

Selain itu, menerusi Sidang Kemuncak KL 2019 – Malaysia, bersama negara-negara Islam yang lain telah berbincang dan menjalankan kerjasama bagi peningkatan ekonomi dan kemajuan sejagat.

Secara tidak langsung, Tun M berpendapat bahawa ini dapat membuka ruang buat pasaran negara untuk meneroka bidang-bidang kritikal.

Kemajmukan Adalah Kekuatan Malaysia

Sidang Kemuncal KL 2019 adalah antara platform yang memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang mampu hidup bersama tanpa sebarang konflik atau pengeseran agama dan bangsa.

Kepelbagaian ini sekali gus memaparkan kekuatan Malaysia.

Meskipun terdapat peruntukan yang berbeza bagi setiap kaum, percaturan ini adalah untuk memastikan kelangsungan rakyat dan hak mereka diberi jaminan.

Tun Mahathir akui, sistem sebegini sukar difahami oleh negara luar yang majoritinya memiliki satu kaum dalam penguasaan dan ekonomi mereka.

Tun Mahathir turut menekankan kekuatan bangsa Malaysia mencerminkan kekuatan pertumbuhan sesebuah negara.

Oleh itu, dengan menjadi sebuah negara yang kukuh, Malaysia perlu kekal merdeka dalam erti kata sebenar.

Bersiap Sedia Hadapi Kemelut Ekonomi Dunia

Rentetan isu konflik antara AS dan China, secara tidak langsung telah mengugat kemajuan ekonomi dan teknologi dunia.

Tun Mahathir mengingatkan rakyat supaya menerima keadaan ini.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus tampil dengan pelbagai usaha dan inisiatif kepada rakyat.

Walaupun ekonomi dunia mengalami penurunan, kerajaan melihat perubahan pada kemajuan teknologi mampu mengubah corak operasi perniagaan dan perkhidmatan negara.

Ini secara tidak langsung dapat memberi hasil yang baharu kepada kerjaya dan pendapatan rakyat.

Beliau menyarankan agar peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya. Sekiranya tidak, rakyat akan kehilangan punca kehidupan.