Netflix, Spotify, Google, Airbnb adalah antara perkhidmatan digital antarabangsa yang akan dikenakan cukai digital di Malaysia mulai 1 Januari tahun hadapan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendedahkan, sehingga 20 Disember tahun ini, sebanyak 126 telah mendaftarkan diri mereka ke Jabatan Kastam.
Walau bagaimanapun, Kastam tidak boleh mengesahkan berapa banyak syarikat digital dari luar negara yang layak dikenakan cukai digital ini.
Oleh itu, sebagai langkah pertama dalam implementasi cukai digital, mereka akan menggunakan ‘cara lembut’ (soft approach) dalam mengenakan cukai terhadap syarikat-syarikat ini.
Antaranya, adalah dengan memberikan notis mempelawa mereka mendaftarkan diri untuk cukai ini, sekiranya syarikat-syarikat ini melepasi tahap yang diperlukan untuk dikenakan cukai.
Bagi syarikat digital berasal dari Malaysia pula, Kastam mengesahkan bahawa kumpulan ini telahpun membayar 6% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dari pelanggan mereka. Ini bermakna mereka tidak akan dikenakan cukai digital, sepertimana yang dikenakan terhadap syarikat digital luar negara yang beroperasi di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan cukai digital, awam boleh menghubungi Jabatan Kastam di 1300-888-500.
Jabatan Kastam mengesahkan bahawa mereka akan mengeluarkan infografik untuk menjelaskan pengenaan cukai digital ini kepada awam.