Artikel

Akhbar Focus Malaysia Menghentikan Cetakan Mingguan Setelah 7 Tahun Beroperasi

Akhbar Focus Malaysia telah menghentikan operasi percetakan surat khabar mingguan sejak 6 Disember 2019 lalu.

Menurut sumber, ini kerana kos operasi percetakan dan pengedaran akhbar secara mingguan telah menjadi begitu tinggi sehingga mereka harus berubah strategi untuk terus beroperasi.

Dengan ini, Focus Malaysia akan melancarkan strategi dua penjuru: iaitu melancarkan berita dalam talian, dan mencetak secara bulanan.

Pelancaran berita dalam talian akan dilakukan pada 1 Januari 2020. 

Pelancaran ini akan menyaksikan syarikat akhbar ini berubah menjadi sebuah syarikat berita bisnes dalam talian, memberi penekanan terhadap isu-isu berita, gaya hidup, dan pendapat.

Selain itu, Focus Malaysia akan tetap mencetak, tetapi dengan kekerapan bulanan yang akan dinamakan Focus Malaysia Monthly.

Perubahan yang sedang dilakukan Focus Malaysia adalah untuk memastikan bahawa syarikat media seperti mereka terus kekal beroperasi, walaupun kos penyelenggaraan terus meningkat dan pendapatan melalui pengiklanan dan sumber-sumber lain terus menguncup.

Utusan, sebuah akhbar ulung di negara, telah tutup beroperasi tahun ini. Penutupan Utusan menyebabkan ribuan pekerja kehilangan sumber rezeki.

Selain itu, Media Prima telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengurangkan jumlah pekerjanya. Dalam pusingan kali ini, seramai 543 pekerja, membentuk sekitar 40 peratus tenaga kerja, dijangka akan ditamatkan perkhidmatan dengan syarikat itu.