Artikel

MOF: Soalan Lazim Mengenai Cukai Digital

Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan soalan-soalan lazim mengenai pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital diimport yang akan bermula pada 1 Januari, 2020.

Ini adalah soalan lazim yang diterima:

Apakah perkhidmatan digital?

  • Perkhidmatan digital adalah perkhidmatan  IT yang diperolehi melalui internet atau platform digital lain. Contoh perkhidmatan adalah perkhidmatan atas talian seperti pengkomputeran awanan (cloud computing), permainan digital dan aplikasi digital.

Mengapa cukai perkhidmatan digital dikenakan?

  • Setakat ini, perkhidmatan digital yang disediakan oleh syarikat tempatan perlu mengenakan cukai. Namun, bagi penyedia perkhidmatan luar seperti Netflix, Spotify, Google App Store – tidak mengenakan sebarang cukai, secara tidak langsung perihal ini menjejaskan daya-saing syarikat tempatan.
  • Inisiatif cukai perkhidmatan ini akan mewujudkan ‘level playing field’ yang seimbang kepada semua syarikat tempatan perkhidmatan digital.

Bila akan dilaksanakan?

  • Bermula 1 Januari 2020

Kadar cukai perkhidmatan digital?

  • Sebanyak 6 peratus akan dikenakan.

Siapa yang perlu membayar cukai perkhidmatan digital ini?

  • Pengguna di Malaysia. Pengguna terdiri daripada individu atau entiti yang terlibat dalam menjalankan perniagaan atau tidak menjalankan perniagaan.

Siapa yang mengutip cukai perkhidmatan digital ini?

  • Pihak penyedia perkhidmatan asing yang berdaftar akan mengutip cukai perkhidmatan digital bagi pihak kerajaan. Kesemua hasil cukai ini akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia. Hasil tersebut akan digunakan untuk pembangunan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Apakah contoh perkhidmatan digital yang dikenakan cukai perkhidmatan?

  • Kandungan digital – iaitu seperti aplikasi, permainan digital, buku digital dan filem.
  • Perisian program – software, drivers dan website filters. 
  • Perkhidmatan pengurusan data elektronik – website hosting dan cloud storage
  • Perkhidmatan pengiklanan atas talian

Sekiranya pengguna membeli kod aktifan bagi permainan digital atau perisian atas talian?

  • Pembelian kod aktifan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan. Pengimportan barang bercukai adalah tertakluk kepada kenaan cukai jualan import pada kadar yang ditetapkan.

Adakah beli barangan secara talian (online), akan dikenakan cukai perkhidmatan digital?

  • Tiada cukai perkhidmatan dikenakan, kerana cukai tersebut hanya untuk perkhidmatan dan bukan ke atas barangan.

Bagaimana pula sekiranya pelancong luar membuat tempahan pada platform digital seperti Agoda.com. Adakah akan dikenakan cukai perkhidmatan?

  • Pelancong sekadar perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas hotel, sekiranya operator hotel berdaftar di bawah cukai perkhidmatan dan bukan cukai perkhidmatan digital.

Bagi perkhidmatan bulanan (subscription service), adakah cukai dikenakan secara lump sum atau bulanan?

  • Cukai dikenakan berdasarkan penetapan amaun pada invois – tempoh dan bentuk langganan yang dipilih. Sekiranya bayaran dibuat setiap bulan, cukai perkhidmatan tersebut akan dibayar berdasarkan fi setiap bulan.

Sekiranya langganan dibuat pada April 2019 dan tempohnya setahun, adakah pada 1 Januari 2020 pengguna perlu membayar cukai perkhidmatan tersebut?

  • Cukai hanya perlu dibayar setelah tempoh langganan berakhir.

Bagaimana pengguna perlu memastikan sama ada syarikat yang mengenakan cukai ini, adalah syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)?

  • Setiap syarikat yang berdaftar akan memiliki nombor pendaftaran cukai. Pengguna boleh semak status pendaftaran pada portal MySST.

Apakah syarikat Malaysia yang perolehi perkhidmatan digital dari luar negara turut dikenakan cukai perkhidmatan digital?

  • Tidak. Syarikat ini adalah dikecualikan dari kenaan cukai perkhidmatan.

Pengguna gunakan platform Amazon.com untuk menjual produk. Apakah perlu membayar cukai juga?

  • Cukai ini hanya termaktub untuk penggunaan perkhidmatan platform digital bukan pada produk. Maka, pengguna perlu membayar cukai perkhidmatan kepada Amazon.com bagi fi perkhidmtan yang disediakan. Sekiranya platform tersebut ditawarkan secara percuma, maka tidak perlu.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya, pengguna mengetahui syarikat perkhidmatan digital tidak berdaftar?

  • Pengguna boleh membuat aduan pada JKDM.

Siapa yang boleh berdaftar selaku penyedia perkhidmatan asing? 

  • Mana-mana syarikat di luar Malaysia yang menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna Malaysia perlu berdaftar sekiranya telah mencapai ‘threshold’ yang ditetapkan.

Apakah kelayakan ‘threshold’ cukai perkhidmatan digital?

  • ‘Threshold’ bilai perkhidmatan digital yang ditetapkan ialah pada tahap melebihi RM500,000 setahun.

Bagaimana pengiraan ‘threshold’ ditetapkan?

  • Pengiraan ditetapkan berdasarkan kepada jumlah nilai semua perkhidmatan digital yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan asing kepada pengguna dalam tempoh 12 bulan.

Bilakah syarikat boleh berdaftar dan mengenakan cukai ini ke atas perkhidmatan digital?

  • Penyedia perkhidmatan boleh memohon untuk berdaftar dengan JKDM secara talian bermula 1 Oktober 2019. Dan cukai boleh dikenakan bermula 1 Januari 2020.

Apakah tindakan yang akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang tidak berdaftar, sekiranya mereka telah mencapai ‘threshold’?

  • Berdasarkan Seksyen 56C Akta Cukai Perkhidmatan 2018, mana-mana permberi perkhidmatan asing yang gagal berdaftar walaupun sudah mencapai ‘threshold’ boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya.

Bagaiamana kerajaan memastikan penyedia perkhidmatan meremitkan cukai perkhidmatan yang dikutip daripada pengguna kepada JKDM?

  • JKDM memiliki kuasa untuk menguatkuasakan perundangan cukai perkhidmatan meskipun syarikat tersebut berada di luar negara. 

Adakah pengenaan cukai ini selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa?

  • Pelbagai negara telah mengenakan cukai ke atas perkhidmatan digital dan cukai ini dibuat berlandaskan dasar yang telah ditetapkan oleh sesebuah negara.

Bagaimana pula penyedia perkhidmatan di luar negara menentukan sama ada pelangganya adalah pengguna di Malaysia?

  • Apabila penggunaan melakukan pembayaran menggunakan kemudahan kredit atau debit yang disediakan oleh mana-mana institusi kewangan Malaysia.
  • Peroleh perkhidmatan digital dengan alamat internet yang berdaftar di Malaysia atau kod negara antarabangsa yang ditetapkan khusus Malaysia.
  • Bermastautin di Malaysia.

Saluran untuk maklumat lanjut berkenaan cukai perkhidmatan digital?

  • Pengguna boleh hubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1300-888-500 untuk sebarang pertanyaan berkenaan cukai perkhidmatan digital.