Artikel

Bank Muamalat Hadir Dengan Ciri Pembayaran Baharu, DuitNow QR

Bank Muamalat kini memperkenalkan ciri Pembayaran QR pada aplikasi peniaga yang tersendiri. 

Pengumuman ini secara tidak langsung menampilkan mereka sebagai bank islam yang pertama memperkenalkan ciri tersebut.

Berikutan laporan RTM, ciri DuitNow QR ini diwujudkan selaras dengan Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

Kehadiran ciri ini sekali gus menunjukkan inisiatif perbankan untuk menaiktaraf peralihan perkhidmatan kepada transformasi digital.

Menurut Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif – Bank Muamalat juga telah melancarkan e-Derma menerusi penyelesaian QR yang tersendiri.

Platform tersebut berfungsi memberi sumbangan derma kepada masjid. Kini, e-Derma telah berkembang ke hampir 600 masjid di seluruh negara menyumbang 20 peratus daripada jumlah 3,000 peniaga QR Bank Muamalat yang akan beralih kepada piawaian DuitNow QR.

Seterusnya, turut difahamkan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan membentuk piawaian QR nasional antara dompet digital dan pihak bank berlesen.

Perihal ini secara tidak langsung, untuk memastikan kesinambungan operasi antara kedua-dua pihak berjalan lancar.