Artikel

Huawei Seharusnya Dibenarkan Bina Rangkaian 5G Di Itali

Huawei seharusnya dibenarkan beroperasi di Itali, dan membina rangkaian 5G di negara itu, menurut Menteri Industri Itali.

Reuters melaporkan semalam dan memetik akhbar La Stampa, susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri itu.

Baru-baru ini, sebuah jawatankuasa parlimen Itali telah menggesa kerajaan Itali untuk menyekat pembabitan Huawei dalam proses pembinaan infrastruktur 5G di sana.

Amerika Syarikat (AS) telah melobi Itali dan beberapa negara Eropah lain untuk menyekat dari menggunakan peralatan Huawei.

Selain Huawei, satu lagi syarikat gergasi China – ZTE juga disebut oleh AS sebagai syarikat yang seharusnya disekat dari membina rangkaian 5G. 

AS mendakwa kedua-dua syarikat ini mengundang risiko keselamatan negara – kerana AS mendakwa mereka boleh digunakan sebagai proksi kerajaan China untuk risik negara-negara Eropah.

Dakwaan ini ditolak sekeras-kerasnya oleh Huawei dan ZTE.

“Kami telah meluluskan perundangan yang menjamin keselamatan negara Itali. Dengan adanya sistem keselamatan negara, Huawei tidak mungkin mendapat akses pertahanan negara Itali,” kata Stefano Patuanelli, menteri industri negara itu.

Syarikat telekomunikasi terbesar Itali – Telecom Italia – sedang memilih syarikat-syarikat infrastruktur 5G, di mana Huawei merupakan antara syarikat yang mungkin dipilih untuk membina rangkaian ini.