Berikut adalah kenyataan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) bahawa anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan dana harga berubah, Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (TK2019) pada taklimat media yang diadakan di Menara PNB hari ini.
Pengagihan Pendapatan Unit Amanah ASB
ASNB telah mengumumkan pembayaran pengagihan 5.50 sen seunit bagi dana utamanya, ASB bagi TK2019 merangkumi pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.
Jumlah keseluruhan pembayaran pengagihan bernilai RM9.0 bilion ini akan memanfaatkan 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit. Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana sebanyak RM152.0 bilion telah dibayar oleh PNB kepada pemegang unit setakat ini sejak mula diperkenalkan pada 1990.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, “Akibat daripada ketidaktentuan pasaran kewangan dan perang dagang US-China yang berterusan, dengan perdagangan global yang perlahan yang menjejaskan permintaan luar dan prestasi eksport bagi pasaran serantau, persekitaran pasaran telah menjadi lebih mencabar pada 2019. Di sebalik keadaan mencabar ini, ASB berjaya memberikan jumlah agihan pendapatan sebanyak RM9.0 bilion bagi TK2019, hasil keuntungan terperoleh daripada peningkatan pelaburan luar negara yang dirancang di bawah rangka kerja Peruntukan Aset Strategik PNB ternyata seperti perancangan.”
Setakat 16 Disember, Komposit Indeks Kuala Lumpur (KLCI) menurun sebanyak 7.2% setakat ini, menjadikannya antara indeks dengan prestasi terendah di dunia. Ini merupakan tahun kelima daripada enam tahun berturut-turut pasaran tempatan mencatatkan pulangan negatif, jelas beliau.
Prestasi dana dibandingkan dengan Deposit Tetap 12-Bulan Maybank bagi TK2019, menunjukkan prestasi mengatasi penanda arasnya sebanyak 2.4%. Berbanding dengan harga pasaran komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI setakat 16 Disember 2019, ASB telah mengatasi Indeks dengan 12.7%.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan dana. Unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2020.
Amanah Saham Nasional
ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan 2.75 sen seunit untuk ASN bagi TK2019. Ini mencerminkan hasil dividen sebanyak 4.4% berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana setakat 16 Disember 2019.
Jumlah pembayaran pengagihan sebanyak RM49.0 juta akan memanfaatkan 1.22 juta pemegang unit dengan pegangan lebih 1.78 bilion unit. Setakat 30 November 2019, ASN mencatatkan pendapatan bersih RM53.5 juta bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya.
Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN adalah berdasarkan unit yang dimiliki setakat 31 Disember 2019. Pengagihan pendapatan tersebut akan dilaburkan semula sebagai unit-unit tambahan dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 2 Januari 2020, berdasarkan NAB seunit setakat 31 Disember 2019. Urus niaga bagi ASB dan ASN telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 18 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal myASNB di myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana pejabat cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga diteruskan semula pada 2 Januari 2020
Prestasi PNB Tahun 2019
Di sebalik tahun yang mencabar bagi pasaran tempatan dan antarabangsa, PNB mencatatkan prestasi yang berpatutan bagi 2019. Bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya, Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat sebanyak 5.7% kepada RM311.9 bilion, dari tahun kewangan sebelumnya, manakala pendapatan bersih proforma PNB dan dana unit amanahnya mencatatkan sejumlah RM10.7 bilion. Unit dalam edaran turut mencatatkan peningkatan sebanyak 7.5% kepada 253.8 bilion unit bagi kesemua 14 dananya.
PNB terus memberikan pulangan mampan kepada para pemegang unit dengan mencatatkan jumlah pembayaran sebanyak RM13.2 bilion merentasi semua dana bagi tahun 2019. Kajian Semula Separuh Penggal Pelan Strategik 2017-2022 telah dilaksanakan pada tahun ini, bagi membolehkan PNB meneguhkan empat bidang utamanya iaitu Peruntukan Aset Strategik dan Pengurusan Kecairan Optimum, Pengurusan Risiko Organisasi dan Transformasi Organisasi. ASNB turut mempertingkatkan pengalaman pengguna dengan memperluaskan penawaran produk digital dengan pelancaran aplikasi mudah alih myASNB.
Aplikasi ini diperkenalkan dengan matlamat untuk memudahkan urusan dan memenuhi keperluan gaya hidup generasi muda telah dilancarkan bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia 2019 di Sungai Petani, Kedah pada April tahun ini.
Melangkah ke hadapan, PNB mensasarkan untuk mempercepatkan strategi kepelbagaian ke semua kelas aset, serta meneruskan pelan penciptaan nilai bagi syarikat-syarikat strategik dan terasnya.