Artikel

KWSP Catat Prestasi Sederhana Untuk Suku Ketiga, Kesan Pasaran Perlahan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan jumlah pendapatan sederhana bagi suku ketiga tahun ini.

Ini susulan prestasi pasaran yang perlahan bagi tempoh yang sama.

Jumlah pendapatan untuk KWSP bagi suku ketiga adalah RM13.5 bilion.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, portfolio domestik KWSP menerima kesan kurang memberangsangkan akibat pertumbuhan pendapatan lemah dalam pasaran ekuiti.

Pasaran saham Malaysia susut 5.3%.

Untuk suku ketiga, portfolio ini mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.57 bilion.

Menurut KWSP, situasi global yang kurang baik memberi kesan terhadap pasaran tempatan. Isu seperti Brexit, pergolakan politik di Hong Kong, ketegangan geo-politik di Timur Tengah, serta ketidaktentuan perang perdagangan AS-China yang terus berlarutan, memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

Sehingga kini, campuran pelaburan KWSP terus memberi penekanan terhadap pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap seperti Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf. 

Ini membentuk 51% dari jumlah pelaburan aset KWSP.

Untuk sektor ekuiti pula, ini membentuk 38% pelaburan KWSP.

Manakala instrumen pasaran wang dan hartanah masing-masing menyumbang 6% dan 5% dalam portfolio KWSP.