Menurut Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian – kabinet telah meminta pembentangan-butiran mengenai tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dilakukan semula.
Ini adalah permintaan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Tindakan ini untuk memastikan semakan semula maklumat dapat dilakukan dengan teliti sebelum keputusan pengambilalihan dibuat.
Seperti semua yang sedia maklum, pengendali telah menerima lima tawaran bagi pengambilalihan lebuh raya terbesar negara ini. Namun, masih tiada makluman berkenaan tempoh sebenar penelitian ini akan berakhir.
Kenyataan ini diberikan oleh Bian sewaktu majlis makan malam Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia dan mesyuarat agung tahunan semalam.
Bian berkata bahawa cabaran yang dihadapi oleh kontraktor Bumiputera menjadi lebih kompleks memandangkan kemajuan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Bian menggesa para kontraktor terutamanya generasi muda untuk terus meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pengetahuan mereka dalam industri pembinaan dengan menggunakan teknologi terkini dan merebut peluang yang ada untuk meningkatkan daya saing global.
Perihal ini selaras dengan matlamat Kementerian Kerja Raya untuk menjadikan industri pembinaan sebagai inspirasi kepada sektor lain, kementerian ingin memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi seperti Sistem Bangunan Industri, Pemodelan Maklumat Lebuhraya dan Pemodelan Maklumat Bangunan.