Menurut penarafan tahunan Glassdoor bagi Best Place To Work 2020 menunjukkan Google dan Facebook tidak lagi berada di tangga teratas.
Sebelum ini, Facebook sering dinilai sebagai tempat bekerja terbaik sebanyak tiga kali dalam masa 10 tahun lalu. Namun, tidak lagi – kini mereka berada pada kedudukan ke 23. Ini merupakan kedudukan paling rendah yang pernah dicatatkan sejak penglibatan mereka pada senarai tahun 2011.
Google pula sebelum ini pernah dinobatkan sebagai tempat bekerja terbaik pada tahun 2015, kini sekadar menduduki tempat ke 11 pada senarai Glassdoor.
Catatan ini secara tidak langsung memaparkan kedua-dua buah syarikat teknologi seakan-akan mula hilang kelebihan mereka.
Banyak syarikat teknologi tinggi, termasuk Facebook dan Google telah mula dikritik pada tahun ini. Kritikan tersebut adalah berdasarkan kepada pelbagai masalah dalam sesetengah kes atau isu di mana pekerja telah menentang keputusan eksekutif secara terbuka.
Misalnya, kakitangan Google dikatakan kurang percaya akan kreadibiliti pengurusan kanan untuk memimpin syarikat di masa hadapan.
Pengurusan Facebook juga seperti Google menyediakan pelbagai kemudahan kepada pekerja dengan keperluan. Namun, pekerja telah menolak kepimpinan terhadap beberapa isu dasar, seperti keputusan untuk tidak menyemak isi kandungan iklan politik.
Meskipun, Facebook dan Google mengalami penurunan pada senarai penarafan Glassdoor ini, masih terdapat syarikat teknologi lain yang mengekalkan kedudukan mereka. Malah, ada syarikat teknologi lain yang turut muncul sebagai muka baharu sebagai tempat bekerja terbaik pilihan pekerja.