Menurut kajian Facebook bersama Bain & Company iaitu Riding the Digital Wave: Discovery Generations – kajian ini telah meninjau 2,965 responden di seluruh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Malah telah menemubual lebih 30 individu Ketua Pegawai Eksekutif bagi mengetahui lanjut berkenaan landskap industri e-dagang.
Kajian melihat ‘penemuan’ sebagai pemacu utama pertumbuhan bagi perniagaan yang ingin berjaya dalam ekonomi digital pada pasaran dunia. Kajian juga telah menunjukkan kelas pertengahan di Asia Tenggara akan menyumbang 70-80% daripada pertumbuhan pengguna digital menjelang 2025.
Pemerhatian ini berdasarkan catatan pengguna digital Asia Tenggara pada tahun 2015 berjumlah 90 juta – telah meningkat sebanyak 2.8 kali ganda, di mana pada tahun 2018, jumlah pengguna digital meningkat kepada 250 juta pengguna. Berikutan itu, anggaran pertumbuhan pengguna ini dilakukan berdasarkan kecendurangan minat pengguna sewaktu melayari platform e-dagang.
Antara segmen yang menjadi pilihan pengguna adalah barangan peribadi dan pakaian. Ini adalah dua kategori utama hasil pencarian dalam e-dagang.
Media Sosial Sebagai Platform Penemuan Produk E-Dagang
Apa yang menarik juga pada kaijan penemuan ini adalah Facebook dapat mengetahui bahawa hampir 70% responden mengatakan mereka tidak mengetahui produk apa yang perlu dibeli atau di mana untuk mendapatkannya sebelum mereka berbelanja secara dalam talian.
Nicole Tan, Pengarah Urusan Facebook Malaysia mengatakan lebih 80% pengguna pula menyatakan mereka akan membandingkan harga pada seluruh platform e-dagang sebelum membuat sebarang keputusan pembelian. Kajian juga mendapati pengaruh media sosial menjadi faktor utama di Malaysia, hampir 58% pengguna menggunakannya untuk mencari dan mencuba produk baharu.
Menyokong kenyataan diatas, 70% responden Malaysia mengatakan bahawa mereka sentiasa terbuka kepada jenama lain atau akan membeli dari pelbagai jenama semasa membeli-belah secara talian. Secara tidak langsung, tabiat ini akan mendatangkan kebaikan pada pertumbuhan ekonomi digital tempatan.
Secara keseluruhannya, menerusi pengamatan kajian – masih tiada pemain dominan pada pasaran e-dagang. Ini bermakna perniagaan dari semua saiz, mempunyai peluang besar untuk bersaing secara lebih meluas pada pasaran Asia Tenggara.