Artikel

Cawangan Sushi King Yang Tidak Menguntungkan, Akan Ditutup

Bermula tahun 2020, Texchem Resources Bhd bakal menutup cawangan Sushi King yang tidak menguntungkan pada pasaran negara ini.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Fumihiko Konishi, rata-rata cawangan yang tidak menguntungkan ini kebanyakannya terletak di pusat beli-belah. 

Faktor utama kemerosotan keuntungan adalah disebabkan bayaran sewa yang tinggi.

Berikutan itu, pihaknya merancang untuk menutup cawangan di KLCC kerana sewa yang tinggi.  

Sementara itu cawangan Sushi King di luar pusat membeli-belah pula dilihat mencatat keuntungan yang lebih tinggi kerana sewa yang rendah.

Untuk makluman pengguna, terdapat 137 restoran Sushi King di Malaysia, termasuk 25 cawangan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Konishi, perbelanjaan pengguna di Sushi King juga dilihat semakin menurun kerana ketidakpastian ekonomi pada masa ini.

Malah, dia juga berpendapat pengguna lebih gemar memilih tempat makan yang tidak mempunyai cukai perkhidmatan, sekali gus menyebabkan catatan jualan kian merosot.

Buat masa ini, tiada sebarang perancangan berkenaan peruntukan Sushi King untuk operasi tahun hadapan. 

Selain itu, pihaknya juga akan melaksanakan pengurangan jumlah pekerja daripada 6,000 pekerja yang sedia ada. Perihal ini untuk menampung kerugian yang dialami.

Konishi turut menambah, kumpulan juga akan mengawal inventori dan memendekkan tempoh kredit bagi mengawal angka hutang perniagaan.

Meskipun, kumpulan ini mengalami kemerosotan pada jualan sesetengah cawangan namun operasi kumpulan ini dilihat masih stabil, dengan penjanaan keuntungan sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta setiap tahun bagi kesemua bahagian perniagaannya.