Artikel

IHH Perolehi 99.99% Sokongan Pemegang Saham, Beli Prince Court Pada Nilai RM1.02 Bilion

IHH Healthcare Berhad telah mendapat sokongan pemegang saham mereka untuk membeli Prince Court Medical Centre.

Melalui sebuah mesyuarat am luar biasa, lebih dari 99.99% pemegang saham tidak-lansung dan pemegang saham proksi meluluskan usul untuk membenarkan anak syarikat milik penuh IHH, Pantai Holdings Sdn Bhd, dan Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional, untuk membeli kesemua 100% modal saham terbitan Prince Court yang akan dibayar secara tunai sebanyak RM1.02 bilion.

Dengan ini, IHH yakin pembelian ini dapat dimetrai dalam suku pertama tahun hadapan.

Walaupun demikian, pembelian ini masuk memerlukan kelulusan pihak berkuasa, tetapi IHH yakin kelulusan yang diperlukan dapat diperolehi dalam jangka masa yang sesuai.

Pembelian Prince Court adalah penting untuk kumpulan IHH. Ini kerana, lokasi Prince Court berada dalam “segitiga emas” Kuala Lumpur.

Selain itu, hospital ini mempunyai kapasiti 277 dan menawarkan kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh.

Selain itu, Prince Court secara kebiasaannya mempunyai pesakit yang datang dari luar negara, terutamanya pesakit dari Timur Tengah. Ini dapat membantu usaha kumpulan IHH dalam menawarkan perkhidmatan Pelancongan Kesihatan, yang juga merupakan antara teras tumpuan Kementerian Pelancongan.

Dengan termetrainya pembelian ini, kumpulan IHH kini mempunyai 16 buah hospital di Malaysia. 

IHH Healthcare Berhad merupakan antara syarikat penjagaan kesihatan terbesar di dunia dari segi modal pasaran, dan tersenarai di bursa saham Malaysia dan Singapura.

Antara entiti yang dimiliki IHH termasuk Parkway Pantai Limited, Acibadem Holdings di Turki, Fortis Healthcare Limited di India, dan IMU Health, sebuah institusi pendidikan tinggi di Malaysia.