Berikut adalah kenyataan dari Khazanah Nasional berkenaan dengan isu Malaysian Shoaiba Consortium:
Pelaksanaan Pelaburan Bersama
Khazanah Nasional Berhad telah melaksanakan pelaburan bersama dengan Malakoff Corp Berhad dan Tenaga Nasional Berhad pada tahun 2005. Menerusi Konsortium memperlihatkan sokongan terhadap kemasukan Malaysia ke pasaran pengeluar bebas air dan tenaga di Arab Saudi. Apabila pelaksanaan projek tersebut siap sepenuhnya, Khazanah telah mencapai objektif komersial yang ditetapkan bagi pelaburannya dalam Konsortium tersebut. Selari dengan perjanjian pemegang saham Konsortium berkenaan, Khazanah telah menawarkan 40% pegangannya kepada rakan kongsi sedia ada. Malakoff seterusnya telah menerima tawaran tersebut yang sekali gus membolehkan Khazanah melupuskan pegangannya dan memperoleh keuntungan yang baik pada nilai yang berdasarkan aliran tunai masa depan projek berkenaan.
Penilaian Dan Penetapan Strategik
Khazanah menilai semua peluang pelupusan berpandukan sasaran kewangan dan strategik yang ditetapkannya. Sesuatu aset itu boleh dipertimbangkan untuk dilupus sebaik sahaja matlamat pelaburan serta pulangan yang disasarkan telah dicapai, seperti mana pelupusan kepentingannya dalam Konsortium ini. Sebarang pelupusan juga bergantung kepada keadaan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pihak yang mengambil alih aset tersebut.
Dana Komersial Dan Dana Strategik
Menurut mandatnya yang telah diperbaharui, Khazanah mengendalikan dua dana berbeza iaitu dana komersial dan dana strategik. Secara amnya, dana komersial menumpukan kepada mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatan Khazanah untuk manfaat negara. Dana strategik pula memberi tumpuan kepada pelaburan domestik strategik, terutamanya dalam bidang infrastruktur.
Pelaburan Baharu Serta Perlunasan Hutang
Seperti mana pelupusan lain, hasil yang diperolehi oleh Khazanah daripada pelupusan kepentingannya dalam Konsortium tersebut akan dilaburkan semula berdasarkan objektif yang ditetapkan bagi dua dana kendaliannya, atau digunakan untuk membayar balik hutangnya yang sedia ada. Bagi tahun 2019, setakat ini, Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah kira-kira RM1.4 bilion serta telah melunaskan kira-kira RM6.4 bilion daripada keseluruhan hutangnya, sejajar dengan strategi yang ditetapkan. Khazanah menjangkakan akan melaksanakan beberapa lagi pelaburan baharu pada separuh kedua tahun 2019, berdasarkan beberapa peluang pelaburan yang sedang dipertimbangkan.