Artikel

TikTok Disaman, Atas Dakwaan Pemindahan Data China

Seorang pelajar universiti di California telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap aplikasi video TikTok, kerana memindahkan sejumlah besar data pengguna dan menyimpannya di China.

“TikTok secara rahsia telah memindahkan maklumat pengguna ke pusat data di China, dalam jumlah pengguna data yang dapat dikenal pasti secara individu,” kata mahkamah.

Misty Hong, pelajar di Palo Alto, California, memfailkan saman terhadap aplikasi di mahkamah persekutuan California minggu lepas, menurut satu laporan di The Daily Beast pada Isnin.

Platform video popular dalam kalangan remaja tersebut telah dilancarkan oleh syarikat ByteDance pada September 2017 lalu.

“Keseronokan TikTok dibayar dengan harga yang tinggi,” kata Hong.

Saman ini menandakan pertempuran undang-undang bagi aplikasi tersebut akan tercetus.

Pada awal November, kerajaan Amerika Syarikat (AS) membuka siasatan keselamatan nasional pada aplikasi TikTok, menurut New York Times – langkah tersebut dapat melihat sama ada aplikasi itu melakukan tindakan seperti yang diperkatakan ataupun tidak.

Hong mendakwa lagi bahawa TikTok juga menggunakan datanya tanpa izin – termasuk draf video yang dibuatnya tetapi tidak dikongsi dalam talian – dan memindahkannya ke pusat data oleh syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan China.

Kira-kira 110 juta penduduk AS telah memuat turun aplikasi tersebut.

TikTok masih belum menjawab pertanyaan AFP berkenaan maklum balas tentang isu ini.

Pada bulan November, mereka mengatakan tidak dapat memberi komen mengenai siasatan AS tetapi menekankan bahawa penghormatan pengguna AS dan pengawal selia adalah keutamaan mereka.

TikTok telah mula mengasingkan operasinya daripada pihak berkuasa China, malah mengekalkan prinsip bahawa pusat datanya terletak di luar negara dan datanya tidak tertakluk kepada undang-undang negara China.

Catatan bulan November menunjukkan aplikasi ini telah cecah sehingga 1.5 bilion muat turun di seluruh dunia, mengatasi media sosial Instagram. 

Sumber  AFP