Artikel

RUU Had Tempoh Dua Penggal Perdana Menteri Akan Dibentangkan Pada Parlimen

Sebuah Rang Undang-Undang (RUU) untuk menghadkan tempoh perkhidmatan seseorang perdana menteri akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini iaitu Selasa, 3 Disember.

RUU Perlembagaan Malaysia (Pindaan) 2019 akan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen, seperti mana yang diperlukan untuk meminda perlembagaan negara.

Sekiranya RUU ini lulus di parlimen, maka sesiapa yang menjawat jawatan perdana menteri Malaysia hanya boleh berkhidmat dalam kapasiti itu selama sepuluh tahun maksima.

Menurut laporan sebelum ini, kerajaan mengatakan bahawa tujuan RUU ini dibentangkan adalah untuk memastikan kelestarian dan kesenambungan kerajaan terpelihara.

Pihak pembangkang sebelum ini memberikan pandangan bercampur-campur terhadap isu ini. Namun demikian, parlimen akan menyaksikan satu perbahasan menarik kerana ahli parlimen pembangkang dijangka akan berikan pandangan yang lebih jelas susulan RUU dibentangkan.

Di Malaysia, hanya di Pulau Pinang sahaja yang mempunyai had tempoh perkhidmatan Ketua Menteri.

Pada peringkat antarabangsa pula, negara-negara yang mengamalkan sistem parlimen Westminster seperti di Malaysia tidak mempunyai kata putus yang jelas tentang penghadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri.

Manakala Amerika Syarikat, jawatan presiden negara itu jelas menghadkan tempoh perkhidmatan mana-mana presiden kepada hanya dua penggal, iaitu lapan tahun maksima.