Artikel

UMW Holdings Catat Keuntungan Sebanyak RM110 Juta

UMW Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih keseluruhan yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham syarikat sebanyak RM110.3 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2019.

Ini adalah yang tertinggi di antara empat suku terakhir. 

Keputusan kewangan bagi suku ketiga 2019 dipengaruhi oleh pendapatan yang stabil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) dari segmen Pembuatan & Kejuruteraan (M&E). 

Walau bagaimanapun, segmen Automotif dan Jentera mencatatkan hasil yang lebih rendah dan PBT berikutan permintaan yang rendah pada suku semasa. 

Perolehan UMW Holdings Berhad dari Operasi Berterusan menurun sebanyak 12.4% tahun ke tahun kepada RM2,882.7 juta dan PBT dari Operasi Berterusan menyusut sebanyak 15.2% kepada RM150.3 juta.

“Walaupun persekitaran ekonomi dan operasi agak mencabar, Kumpulan UMW masih memberikan hasil keuntungan yang menggalakkan,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Badrul Feisal bin Abdul Rahim.

Perolehan segmen Automotif sebanyak RM2,296.9 juta adalah 13.1% lebih rendah daripada RM2,643.4 juta yang dicatatkan pada suku yang sama. 

Tempoh Bebas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia dari 1 Jun 2018 hingga 31 Ogos 2018 menyumbang kepada jualan kenderaan dan pendapatan segmen yang lebih tinggi bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Meskipun terdapat peningkatan keuntungan saham dari syarikat bersekutu, PBT berkurang sebanyak 7.4% kepada RM140.1 juta berbanding RM151.3 juta yang dilaporkan pada suku yang sama.