Affin Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM510.7 juta untuk tempoh berakhir 30 September 2019, peningkatan sebanyak RM22.8 juta atau 4.7% berbanding RM488.0 juta untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Ini disebabkan terutamanya oleh pengurangan peruntukkan rosot nilai pinjaman sebanyak RM78.4 juta dan Kumpulan juga telah merealisasikan keuntungan bersih sebanyak RM106.3 juta daripada portfolio pelaburan kewangannya.
Aset bersih sesaham meningkat 5.1% kepada RM4.69 pada 30 September 2019 (31 Disember 2018 : RM4.46) manakala ekuiti pemegang saham Affin berada pada RM9.3 bilion (31 Disember 2018 : RM8.7 bilion).
Pendapatan faedah bersih menurun sebanyak RM81.9 juta bagi tempoh yang ditinjau selaras dengan pengurangan pelaburan kewangan FVOCI sebanyak RM4.8 bilion dan portfolio pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM2.4 bilion.
Affin mencatatkan pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi sebanyak RM588.5 juta, meningkat 11.3% tahun ke tahun.
Ini disebabkan oleh keuntungan bersih yang lebih tinggi daripada instrumen kewangan sebanyak RM106.3 juta.
Pendapatan berasaskan fi, namun begitu merosot sebanyak RM28.0 juta kepada RM320.9 disebabkan oleh persekitaran pasaran yang lemah terutamanya dalam perniagaan pengurusan aset dan pembrokeran saham.
Bagi sembilan bulan pertama 2019, jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan Affin menyusut sebanyak 4.8% kepada RM46.6 bilion disebabkan pengimbangan semula portfolio.
Deposit pelanggan Affin juga berkurangan sebanyak 0.8% kepada RM56.9 bilion berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Nisbah pinjaman kepada dana stabil pada 77.0% pada 30 September 2019 berbanding 81.1% pada 31 Disember 2018.
Pada 30 September 2019, nisbah pembiayaan terjejas untuk Affin adalah 3.42%.
Dua akaun yang menjejaskan nisbah berkenaan adalah daripada sektor Hartanah dan Minyak & Gas.