Artikel

Keuntungan DRB-HICOM Lepasi Paras RM250 Juta

DRB-HICOM Berhad mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM131.0 juta untuk suku ke-2.

PBT bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2019 mencecah RM277.75 juta. 

Ini berbanding kerugian pra-cukai Kumpulan sebanyak RM143.64 juta untuk tempoh enam bulan yang sama tahun lalu.

Perolehan RM3.59 bilion bagi suku berakhir 30 September 2019 merupakan 12.9% lebih tinggi berbanding dengan suku yang sama pada tahun 2018. 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2019, DRB-HICOM merekodkan perolehan RM7.03 bilion, meningkat 20.4% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi Sektor Automotif, terutamanya dari pengeluar kereta nasional PROTON jelas  merangsang peningkatan prestasi DRB-HICOM. 

Sektor ini mencatat perolehan bernilai RM2.42 bilion bagi tempoh 3 bulan hingga September 2019, meningkat hampir setengah bilion ringgit berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018. 

Bagi tempoh enam bulan hingga 30 September 2019, perolehan berjumlah RM4.66 bilion, peningkatan sebanyak RM1.33 bilion dari tahun lalu.