Payments Network Malaysia (PayNet) dan Fave telah menjalankan kerjasama strategik yang akan menjadikan FaveBiz sebagai pemeroleh bukan bank pertama yang menawarkan DuitNow QR, Standard QR Nasional Malaysia kepada peniaga di Malaysia.
Bermula awal 2020, melalui penyertaan dalam DuitNow QR, Fave mensasarkan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan menggunakan sistem pembayaran nirtunai dan penyelesaian digital.
Melalui pelancaran ini, Fave akan membantu para peniaga di Malaysia untuk mengguna pakai DuitNow QR dan membolehkan mereka untuk menerima bayaran daripada pelanggan 29 bank-bank serta para pengguna e-dompet utama. Fave akan menyediakan penyelesaian yang lancar dan disatukan untuk para peniaga pada platform FaveBiz.
“Dengan DuitNow QR, peniaga hanya perlu mendaftar dengan satu pemeroleh dagangan, dan para pelanggan dari semua bank dan dompet digital yang menyertai dapat membuat pembayaran DuitNow QR kepada peniaga degan menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing. Kami teruja untuk menerima Fave dan bilangan peniaga-peniaga mereka yang cukup besar ke ekosistem DuitNow QR di mana 22 juta pelanggan bank serta jutaan pengguna e-dompet akan dapat membayar dengan DuitNow QR kepada peniaga Fave, ” kata Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet.
Fave dan PayNet juga mengumumkan kerjasama yang akan mengubah dan memberi nilai menarik kepada para pelanggan bank dan pengguna e-dompet yang menyertai ekosistem DuitNow QR. Ini akan membuka peluang pemasaran yang lebih besar untuk para peniaga Fave.
“Ini adalah kerjasama menguntungkan kedua-dua pihak yang inovatif kerana manfaat pembelian dengan peniaga Fave boleh diperluaskan kepada berjuta-juta pelanggan bank dan pengguna e-dompet yang akan mempunyai nilai cadangan yang kuat untuk membuat pembelian daripada peniaga Fave dengan DuitNow QR,” kata Joel Neoh, Pengasas Fave Group.
Fave akan mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan eksponen dengan memproses lebih daripada RM1 bilion transaksi tanpa tunai daripada lebih 30,000 peniaga di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Pertumbuhan 3 kali ganda tahun ini menandakan usaha kukuh Fave untuk meningkatkan hasil bagi peniaga-peniaga tempatan di setiap pasaran yang akan terus beroperasi pada tahun depan dengan kemasukan Fave ke dalam ekosistem DuitNow QR.
DuitNow QR adalah Standard QR Nasional Malaysia di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Antara Bank (ICTF) kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM).
Fave dan PayNet menyedari pertumbuhan penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat di Malaysia yang memberi pengguna lebih banyak sebab untuk menggunakan kod QR bagi pembayaran tanpa memerlukan terminal Point-of-Sale (POS).
Tumpuan Fave adalah untuk memperkuatkan peniaga melalui kerjasama berterusan, perluasan perkhidmatan baru, serta usaha yang lebih mendalam dalam transaksi tanpa tunai.