Malaysia masih berada di kedudukan ke-10 di peringkat global bagi Indeks Keyakinan Pengguna (CCI), dengan mencatatkan indeks 109 mata pada suku ketiga 2019. Ini adalah sejajar dengan 110 mata pada suku kedua 2019, dan kurang daripada kedudukan tertinggi yang dicatatkan pada suku yang sama pada tahun lepas iaitu 127 mata, berdasarkan Kaji Selidik Keyakinan Pengguna Peringkat Global The Conference Board, yang dijalankan secara kerjasama dengan Nielsen.
CCI diukur mengikut tiga penunjuk, yakni tanggapan pengguna terhadap prospek pekerjaan di peringkat tempatan, kewangan peribadi serta keinginan/ kesediaan untuk berbelanja. Pada suku ketiga 2019:
- 62% pengguna Malaysia percaya bahawa keadaan kewangan peribadi mereka akan menjadi sama ada sangat baik atau baik dalam masa 12 bulan akan datang (berbanding 63% pada suku kedua tahun 2019, 75% pada suku ketiga 2018)
- 68% mempunyai pandangan positif tentang prospek pekerjaan dalam tempoh 12 bulan akan datang (berbanding 63% pada suku kedua 2019 dan 77% pada suku ketiga 2018)
- 44% mengatakan bahawa “sekarang adalah masa yang sesuai untuk membeli barangan yang mereka mahu dan perlukan” (berbanding 48% pada suku kedua 2019 dan 58% pada suku ketiga 2018)
“Memandangkan skor Indeks adalah tinggi sepanjang masa pada suku ketiga 2018, kami telah melihat penurunan yang mantap dari satu suku ke suku lain dalam keyakinan pengguna,” demikian kata Luca de Nard, Pengarah Urusan Nielsen Malaysia. “Walau bagaimanapun, skor Indeks dilihat telah stabil pada suku ketiga 2019. Pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan dan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding suku sebelumnya memberikan sedikit keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung dengan prospek kewangan masa depan mereka.”
Ekonomi masih menjadi keutamaan memandangkan sentimen kemelesetan adalah tinggi
Lebih daripada 70% rakyat Malaysia percaya bahawa negara kita mengalami kemelesetan ekonomi (73% berbanding 70% pada suku kedua 2019); di kalangan tersebut, 34% optimistik tentang pemulihan ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang (berbanding 38% pada suku kedua 2019).
Pada suku ketiga 2019, perkara yang menjadi fokus rakyat Malaysia adalah ekonomi, jaminan pekerjaan, keseimbangan kerja dan kehidupan, kestabilan politik dan hutang.
“Meskipun kebimbangan terhadap ekonomi dan jaminan pekerjaan telah jatuh dengan ketara sejak awal tahun ini, ia terus berada di tangga teratas dalam senarai berkenaan perkara yang paling penting kepada rakyat Malaysia,” kata de Nard. “Meskipun fokus tentang isu kehidupan seharian seperti peningkatan utiliti dan harga makanan kekal rendah, namun kebimbangan tentang kestabilan politik menjadi salah satu daripada lima kebimbangan dalam minda rakyat Malaysia.”
3 daripada 5 rakyat Malaysia menyimpan wang mereka, manakala 2 daripada 5 berbelanja untuk percutian
Oleh kerana mereka memberi keutamaan terhadap ekonomi, rakyat Malaysia terus berjimat cermat dari segi kewangan, di mana majoriti pengguna (82% pada suku ketiga 2019 berbanding 87% pada suku kedua 2019) mengatakan bahawa mereka telah menyelaraskan tabiat perbelanjaan mereka untuk menjimatkan perbelanjaan isi rumah.
“Pengguna mengatakan bahawa mereka berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan untuk barangan seperti pakaian baharu dan hiburan di luar rumah, serta bertukar kepada barangan runcit yang lebih murah harganya,” kata de Nard. “Sentimen ini disahkan oleh kajiselidik kesetiaan pengguna global terbaru kami, yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna yang sensitif terhadap harga – hampir separuh pengguna (49%) mengatakan bahawa mereka sentiasa menukar jenama jika ia lebih berbaloi, manakala 47% lagi akan bertukar jenama jika terdapat pengurangan harga atau promosi. Ini adalah sesuatu yang jenama dan peruncit harus peka dalam usaha mereka untuk memenangi dompet pelanggan. ”
Apabila ditanya bagaimana pengguna menggunakan wang mereka, 60% mengatakan bahawa mereka menabung (berbanding 54% pada suku kedua 2019), 40% berbelanja untuk percutian (berbanding 28% pada suku kedua 2019), manakala 39% membayar hutang, kad kredit serta pinjaman (berbanding 33% pada suku kedua 2019).