Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadikan proses mengemas kini butiran peribadi pemegang unit sebagai mandatori bermula 11 November 2019.
Ini bermakna semua pemegang unit perlu mengemas kini butiran peribadi mereka apabila berurusan di mana-mana Cawangan atau Ejen ASNB jika mereka belum berbuat demikian sebelum ini. Pemegang unit yang telah mempunyai akaun portal myASNB juga akan diminta untuk mengemas kini butiran peribadi semasa log masuk ke portal tersebut.
Keperluan untuk mengemas kini butiran pemegang unit ini juga adalah adalah selari dengan ketetapan pihak kawal selia industri yang menetapkan supaya butiran peribadi pemegang unit sentiasa dikemas kini untuk melindungi maklumat peribadi dan urus niaga pemegang unit.
Langkah ini bertujuan memastikan ASNB mempunyai pangkalan data pemegang unit yang lengkap dan terkini dalam usaha syarikat untuk menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua pemegang unit ASNB selain melindungi akaun mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pangkalan data pemegang unit yang dikemas kini akan membolehkan ASNB memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bernilai tambah kepada pemegang unit.
“Pemegang unit yang telah mengemas kini butiran peribadi juga boleh menggunakan kemudahan dalam talian yang kami tawarkan menerusi portal myASNB (www.myasnb.com.my) secara percuma termasuklah pelaburan tambahan, pelaburan bulanan automatik menerusi Auto Labur dan semakan urus niaga serta baki terkini.”
Selain itu katanya, dengan maklumat pemegang unit yang terkini, ASNB mempunyai keupayaan untuk mengesan dan melindungi akaun pemegang unit dari sebarang urus niaga mencurigakan dan pemegang unit juga boleh dihubungi apabila perlu.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad menambah, selaras dengan pelaksanaan program kemas kini butiran peribadi ini, pihaknya menjangkakan tempoh untuk berurus niaga di Cawangan ASNB atau Ejen ASNB akan mengambil sedikit masa berbanding biasa. “Ini kerana pegawai kami perlu mengemas kini dan mengesahkan data peribadi pemegang unit secara masa nyata (real time) untuk disahkan sendiri oleh pemegang unit bagi memastikan tidak berlaku penipuan terutamanya oleh pihak ketiga.
“Langkah ini juga untuk memastikan perlindungan data peribadi pemegang unit sentiasa berada pada tahap tertinggi. Sehubungan itu, kami memohon supaya pemegang unit bekerjasama dengan memberikan maklumat yang betul supaya proses kemas kini ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Pemegang unit ASNB akan diminta mengemas kini 17 butiran peribadi termasuklah nombor telefon, alamat, pekerjaan dan pendapatan bulanan. Proses kemas kini ini hanya boleh dilakukan di Cawangan atau Ejen ASNB untuk mengelak sebarang penipuan terutamanya membabitkan penipuan identiti.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan program ini, pemegang unit ASNB boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899 atau e-mel [email protected], atau melalui Facebook Amanah Saham Nasional Berhad dan ASNBTweet.
Sila layari Laman Web ASNB di www.asnb.com.my untuk maklumat lanjut.