Artikel

Pengambilalihan LDP, SPRINT, SMART, KESAS – Inisiatif PH Dalam Mengurangkan Kadar Tol Secara Berperingkat

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menjelaskan di dalam Parlimen bahawa pengambilalihan 4 lebuhraya bertol – LDP, SPRINT, SMART dan KESAS akan memberikan manfaat besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat lebih daripada RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol. Pihak pengguna lebuhraya pula akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun atau lebih kurang RM2 bilion sepanjang hayat konsesi tol.

Tambahan lagi, model pengambilalihan ini tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan Kerajaan kerana kos pengambilalihan sebanyak RM6.2 bilion serta kos operasi dan penyelenggaraan akan ditanggung sepenuhnya oleh kutipan caj kesesakan yang lebih rendah daripada kadar tol sekarang.

Di bawah cadangan yang baru, selepas tempoh konsesi lebuhraya asal tamat, caj kesesakan akan dikurangkan sekali lagi dengan signifikasi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya.

Caj ini tidak akan mengandungi sebarang unsur keuntungan. Sekiranya caj kesesakan tidak dikutip, kos tersebut masih perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan dan pembayar cukai secara amnya.

Usaha pengambilalihan ini merupakan langkah pertama merealisasikan janji Pakatan Harapan untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat.