Artikel

Kekurangan Tenaga Mahir Digital, IBM Perkenalkan P-TECH

IBM hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa model pendidikan P-TECH yang terkenal ke Malaysia. 

Kerjasama yang ditandatangani antara IBM Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini bertujuan untuk membentuk hubungan antara sekolah menengah, universiti dan industri.

Objektif bersama adalah untuk membangunkan kemahiran akademik, teknikal dan pekerjaan yang lebih baik di kalangan belia Malaysia.

Melalui model P-TECH, sekolah menengah, universiti dan rakan industri akan bekerjasama untuk membolehkan para pelajar memperolehi kelayakan peringkat universiti yang diiktiraf.

Ini juga akan membuka jalan untuk kerjaya STEM yang kompetitif dan dalam permintaan tinggi pada semua industri.

Para pelajar akan mengikuti program sijil diploma Kemahiran dan Vokasional Malaysia yang berkaitan dengan teknologi seperti sains terpakai, kejuruteraan, komputer dan disiplin STEM dalam permintaan tinggi yang lain. 

Di samping itu, mereka akan membina kemahiran profesional menerusi bimbingan, lawatan operasi, dan program latihan.

P-TECH akan diakhiri dengan temuduga untuk peluang pekerjaan yang bersesuaian.

Diasaskan pada tahun 2011 oleh IBM dengan kerjasama tenaga pendidik, P-TECH telah diperkenalkan di 24 negara termasuk U.S.A., Australia, New Zealand, Morocco, Taiwan, Korea, Singapura, Filipina dan Thailand. 

P-TECH menjangkakan penyertaan 220 buah sekolah di seluruh dunia menjelang akhir tahun ini, dengan lebih daripada 600 rakan kongsi industri menyokong inisiatif tersebut. 

P-TECH adalah merupakan maklum balas daripada pengiktirafan yang semakin tinggi terhadap kemunculan peranan baru dalam teknologi. Di mana fleksibiliti, kelayakan dan kemahiran yang berkaitan adalah antara aset penting. 

Pelajar P-TECH di Malaysia akan menerima sokongan untuk menjalani program berstruktur selama lima tahun di sekolah menengah dan di universiti. 

Mereka yang berjaya akan mudah untuk melangkah masuk ke pekerjaan “kolar baru” yang semakin meningkat.

Pekerjaan “kolar baru” ini adalah antara yang paling pesat berkembang dalam beberapa industri, di mana yang paling penting adalah kepunyaan kemahiran teknikal dan profesional di tempat kerja, serta kebolehan penyesuaian diri dan kelayakan yang diiktiraf.

Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sepang dan SMV Sungai Buloh akan memulakan program perintis P-TECH pada tahun 2020, dengan IBM dan MDEC sebagai rakan strategik mereka. 

Pendidikan P-TECH akan dimulakan untuk kira-kira 60 pelajar di kedua-dua sekolah vokasional berkenaan.  

Program ini dijangka berkembang apabila lebih ramai majikan, sekolah tinggi dan universiti menyertainya.

Malaysia mempunyai kekurangan kemahiran ICT dan STEM akibat daripada industri yang dibentuk semula oleh sains data, kecerdasan buatan (artificial intelligent), pengkomputeran awan dan keselamatan siber. 

Suatu laporan Panduan Gaji Malaysia oleh Kelly Services Malaysia 2019 menyatakan bahawa Malaysia menghadapi cabaran dalam membina tenaga kerja digitalnya, seperti yang ditunjukkan dalam permintaan yang semakin meningkat untuk bakat dalam dunia digital meskipun terdapat kekurangan dalam tenaga kerja.

“Kerjasama dengan IBM ini adalah pada masa yang tepat kerana intervensi pada masa ini dalam kehidupan sekolah pelajar pada usia 16 akan dapat membantu merapatkan jurang dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal yang disokong oleh asas komunikasi yang penting untuk berjaya dalam kerjaya mereka,” kata Dr Sumitra Nair, Naib Presiden, Tech Talent Development, MDEC.