Artikel

Projek ECRL Terima Peruntukan Berjumlah RM1 Bilion

SME Bank bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd (CCC-ECRL) telah melaksanakan persetujuan menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi peruntukan pembiayaan berjumlah RM1 bilion.

Peruntukan tersebut akan diberikan dibawah subkontraktor bagi tenaga mahir sivil pada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, setiap kontraktor tempatan yang berkelayakan akan memperolehi akses sehingga RM50 juta, melalui gabungan pembiayaan jangka panjang dan kredit pusingan.

Pelaksanaan ini sekali gus memperlihatkan penyertaan subkontraktor tempatan bagi tenaga mahir sivil meningkat daripada 30% kepada 40%.

Wujudnya kerjasama ini turut dapat mempercepatkan kerja-kerja sivil bagi projek infrastruktur kereta api sepanjang 640 kilometer dari Kota Bahru ke Pelabuhan Klang.

Peruntukan pembiayaan SME Bank ini dilihat sebagai dana pertama bagi pelaksanaan kelangsungan projek ECRL tersebut.