Artikel

Funding Societies Jalin Kerjasama Dengan Carsome

Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan rakan setara atau pembiayaan Peer-to-Peer (P2P financing) terbesar di negara dan Asia Tenggara, telah mengumumkan kerjasama dengan Carsome, platform dagangan kereta terpakai terbesar di rantau Asia Tenggara.

Platform ini menawarkan kaedah dealer financing, produk pembiayaan yang ditawarkan kepada pengusaha perniagaan kenderaan terpakai tempatan untuk pembelian kereta terpakai. 

Menerusi kerjasama ini, sebanyak 1,600 pengedar kereta terpakai di bawah Carsome akan berpotensi memperolehi manfaat pembiayaan berjumlah USD 200juta.

Usahasama ini sejajar dengan matlamat kedua-dua platform untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerusi pembiayaan jangka pendek bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka, khususnya pengedar kereta terpakai tempatan yang sering diabaikan. 

Pengedar kereta terpakai yang berdaftar dengan platform Carsome kini layak untuk menerima pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilai transaksi kereta terpakai tersebut melalui proses yang cepat dan mudah. 

Kelebihan utama dealer financing yang ditawarkan Funding Societies ialah ia terbuka untuk permohonan bagi mana-mana jenis perniagaan, termasuk perniagaan tunggal, perkongsian, dan sendirian berhad, melalui Carsome.

Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, mengatakan produk ini mampu menangani pelbagai masalah berkaitan pembiayaan kereta terpakai konvensional. 

Di mana, tuntutan pembayaran pendahuluan nilai kereta sebanyak 100 peratus oleh PKS, dokumentasi perniagaan yang rumit, antara lain, menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan mereka dengan aliran tunai yang terhad.

Pihak mereka berupaya menawarkan proses pembiayaan lancar menerusi teknologi dan automasi.

Seterusnya, ingin mempercepatkan keseluruhan proses dengan mengurangkan kos untuk memenuhi keperluan pembiayaan PKS secara berdaya maju.