Artikel

Ringgit Susut Nilai 1.1%, Ekonomi Kembang 4.4%, Suku Ketiga 2019

Ekonomi Malaysia berkembang 4.4% pada suku ketiga 2019.

Perkara ini diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku ketiga 2019 (S2 2019: 4.9%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan sektor utama yang lebih rendah dan penurunan dalam aktiviti perlombongan dan pembinaan. 

Menurut BNM, dari segi permintaan, kebanyakan komponen permintaan dalam negeri dan eksport bersih mencatatkan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan.

Pada suku ketiga, purata inflasi keseluruhan lebih tinggi mencerminkan terutamanya luputnya kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada kadar sifar antara bulan Jun hingga Ogos 2018. 

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan, kekal stabil pada 1.5%.

Pada suku ketiga, ringgit menyusut sebanyak 1.1% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). 

Hal ini berlaku berikutan kegiatan menghindar risiko yang kian ketara dalam pasaran kewangan global pada suku ketiga disebabkan oleh persekitaran perdagangan yang semakin tegang dan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global. 

Keadaan ini telah menyebabkan permintaan para pelabur terhadap mata wang selamat (safe haven currencies) yang berterusan, termasuk dolar AS. 

Kesannya, dolar AS pada amnya menjadi lebih kukuh berbanding dengan mata wang lain, termasuk ringgit. 

Walau bagaimanapun, sejak Oktober, ringgit telah menambah nilai sebanyak 0.7% berbanding dengan dolar AS (sehingga 14 November) berikutan aliran masuk ke dalam pasaran bon domestik disebabkan oleh penurunan kadar faedah dasar oleh bank pusat global dan serantau bagi menangani kebimbangan berkaitan prospek pertumbuhan. 

BNM berkata, sejak awal tahun hingga kini (sehingga 14 November), ringgit telah menyusut nilai sebanyak 0.5% berbanding dengan dolar AS. 

Pada masa akan datang, ketidakpastian luaran akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau, termasuk ringgit.

Pembiayaan bersih berkembang 4.8% pada asas tahunan dalam keadaan pertumbuhan pinjaman yang terus sederhana. 

Walau bagaimanapun, pembiayaan bank terus disediakan untuk pembeli rumah dan PKS (Small and Medium Enterprises, PKS). 

Permintaan terhadap pembiayaan perniagaan juga mencatatkan kenaikan dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi.

Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan

Malaysia mencatatkan pertumbuhan purata 4.6% dalam tiga suku pertama tahun 2019. 

Secara keseluruhan, pertumbuhan pada tahun 2019 dijangka berada dalam unjuran dan kadar ini dijangka berterusan hingga menjelang tahun 2020. 

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta, khususnya perbelanjaan isi rumah, yang disokong pula oleh pertumbuhan yang berterusan dari segi guna tenaga dan pendapatan.

Purata inflasi pada tahun 2020 dijangka lebih tinggi daripada tahun 2019 tetapi kekal sederhana. 

Jangkaan ini mencerminkan luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan,  pemansuhan harga siling bahan api dalam keadaan prospek harga minyak dunia yang secara relatif lemah dan langkah-langkah dasar yang sedia ada untuk membendung harga makanan. 

Inflasi asas dijangka kekal stabil, disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.