FWD Takaful Berhad, telah menandatangani Perjanjian Penajaan (PP) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk merasmikan penajaan syarikat sebanyak RM5 juta untuk menyokong pembangunan atlet-atlet para negara.
FWD Takaful adalah penyedia Takaful Malaysia yang pertama untuk menaja atlet-atlet para dan bekerjasama dengan MSN untuk memotivasi, memperkasa dan memberi inspirasi kepada atlet-atlet para Malaysia ini.
Penajaan itu meliputi kos peralatan sukan, latihan, pakaian, perjalanan dan perbelanjaan lain yang berkaitan untuk pasukan Paralimpik Malaysia menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020. FWD Takaful juga akan menyediakan perlindungan Takaful untuk seluruh atlet Paralimpik semasa tempoh penajaan.
“Di FWD Takaful, kami menghargai mereka yang berani menjadi berbeza dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan tanpa mengira batasan fizikal mereka. Penajaan ini memastikan atlet-atlet para diberi sokongan untuk berlatih dan bersaing supaya mereka dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya,” kata Salim Majid Zain, Ketua Pegawai Eksekutif di FWD Takaful.
“Penajaan ini mencerminkan komitmen FWD Takaful untuk menggalakkan inklusiviti termasuk menyediakan perlindungan Takaful untuk atlet-atlet para Malaysia sebagai sebahagian daripada sokongan teguh kami dalam memenuhi impian mereka. Menjadi sebahagian daripada inisiatif ini merupakan satu penghormatan bagi kami, sejajar dengan visi ‘Community Care’ kami, iaitu untuk memperkasakan orang ramai supaya dapat menjalani kehidupan sebaiknya,” kata Salim.
Penajaan FWD Takaful akan merangkumi program-program untuk melatih atlet-atlet di seluruh negara dan mengenal pasti atlet kebangsaan yang berpotensi untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti acara Kejohanan Sirkit Kebangsaan. Terdapat juga acara-acara untuk mencari atlet-atlet para bakat baru seperti Karnival Sukan Para dan Kem Pembangunan Bakat. Lebih daripada 2,000 atlet akan mengambil bahagian dan bersaing dalam acara-acara ini.
Dato ‘Ahmad Shapawi Ismail menandatangani PP bagi pihak MSN, manakala Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.
“Kami sangat menghargai sumbangan oleh FWD Takaful ke arah kemajuan Paralimpik di Malaysia. Atlet-atlet para kami amat berbesar hati apabila mengetahui bahawa terdapat syarikat seperti FWD Takaful yang mempunyai misi untuk memperkasa, mempertingkat dan menyokong orang kurang upaya melalui inisiatif pembangunan diri. Kami percaya penajaan ini akan mendorong mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” kata Syed Saddiq.