Artikel

Krisis Tabung Haji: Ini Caranya Kerajaan Cuba Menstruktur Semula LTH

Lembaga Tabung Haji (LTH) berada dalam satu krisis kewangan.

Perkara ini diumumkan kerajaan setelah mengumumkan bahawa liabiliti LTH lebih banyak daripada aset LTH.

Berikut adalah cara kerajaan menstruktur semula kewangan LTH:

Pada 28 Disember 2018, Urusharta Jamaah Sdn Bhd telah selesai memindahkan aset tidak-berprestasi sebagai usaha untuk menstruktur semula LTH.

Urusharta Jamaah merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Aset yang dipindahkan bernilai RM9.63 bilion. 

Urusharta membayar RM19.90 bilion (dalam bentuk 2 sukuk bernilai RM19.60 bilion dan RM300 juta tunai) kepada LTH. 

Pembayaran RM19.90 bil dari Urusharta kepada LTH adalah untuk aset yang bernilai RM9.63 bilion.

Perbezaan RM10.3 bilion ini (RM19.90 tolak RM9.63) ditampung oleh kerajaan untuk memastikan status kewangan LTH terjamin.

Sekiranya aset yang tidak berprestasi ini terus susut nilai, maka kerajaan akan menampung kos lebih tinggi dari angka RM10.3 bilion ini.

Antara aset yang dipindahkan termasuk aset ekuiti, hartanah, dan satu aset perladangan yang tidak disenarai di Bursa.

Antara aset-aset hartanah yang dipindahkan ke Urusharta Jamaah adalah sebuah parsel tanah 1.568 ekar Tun Razak Exchange (TRX). 

Tanah ini dibeli LTH sebanyak RM188.5 juta, atau RM2,760 kaki persegi.

Ini adalah lebih tinggi dari apa yang dibeli oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada RM75 kaki persegi, atau RM5.1 juta untuk 1.568 ekar.

Urusharta kemudiannya membeli tanah TRX dari LTH dengan harga RM400 juta, atau RM5,856 kaki persegi.

Ini tidak menggambarkan nilai pasaran sebenar.

Namun demikian, menurut kerajaan, tujuan Urusharta membeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran adalah diperlukan bagi memastikan objektif menstruktur semula keadaan kewangan LTH dapat dicapai.

Secara keseluruhannya, Urusharta Jemaah akan dikenakan kos bayaran sebanyak RM10 bilion kerana ini adalah kos untuk menyelamatkan status kewangan LTH.

Perkara ini diumumkan kerajaan pada Khamis, 14 November 2019. Hampir setahun dari transaksi ini bermula.