SJK (C) Beng Teik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (Supply Agreement for Renewable Energy, atau SARE) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya – TNBX Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd.
Ini menjadikannya selaku sekolah pertama di negeri tersebut bagi pemasangan sistem panel solar pada bahagian bumbung bangunan sekolah, minggu lalu.
Sebaik sahaja proses pemasangan selesai pada bulan Oktober 2019 ini, sekolah bakal menghasilkan 77.5kW elektrik untuk menampung sebahagian kos elektrik sekolah tersebut.
SARE yang ditandatangani adalah kontrak tiga pihak antara TNB, GSPARX sebagai Pelabur PV Solar Berdaftar (RPVI) manakala SJK (C) Beng Teik menandatangan sebagai pelanggan.
Ia membolehkan SJK (C) Beng Teik menikmati kadar elektrik yang lebih rendah daripada tarif yang diwartakan.
Skim SARE kini ditawarkan oleh TNBX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB.
SJK (C) Beng Teik juga boleh menjual tenaga suria yang berlebihan daripada pemasangan PV solar ke TNB dan mendapatkan kredit tenaga pada asas ‘satu-kepada-satu’ untuk mengurangkan lagi pembiayaan elektrik mereka melalui Skim Penjimatan Tenaga Bersih (Net Energy Meterin, atau NEM).