Artikel

Petros Perolehi Mandat Melaksanakan O&G Pada Pesisiran Sarawak

Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan diberikan hak kawal selia bagi prospek dan produksi industri cari gali minyak dan gas (O&G) di pesisir Sarawak.

Petros ditubuhkan untuk menerajui penyertaan Sarawak dalam sektor cari gali minyak dan gas, menjadi penyumbang utama kepada negeri ini melalui penyertaan aktif dalam pembangunan serta penggunaan sumber minyak dan gas asli di Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hak perlombongan pesisiran yang dikeluarkan kepada Petros – milik kerajaan ini, akan meliputi kawasan Limbang dan Baram di wilayah utara.

Beliau berkata Petros akan menilai semua permohonan untuk lesen atau pajakan perlombongan dan akan diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk memudahkan semua aktiviti gali dan perlombongan minyak dan gas.

Ini adalah matlamat kerajaan negeri untuk menguruskan potensi hidrokarbon yang tersisa di kawasan-kawasan di Sarawak.

Oleh itu, dalam melaksanakan hak cari gali minyak di Sarawak ini adalah termaktub di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).

Kerajaan telah memutuskan untuk memberi hak prospek dan pengeluaran minyak dan gas di kawasan darat kepada Petros.

Menurutnya, Sarawak memegang kira-kira 56% rizab gas asli Malaysia dan lebih 34% dalam minyak mentah.

Berhubung pembiayaan bagi projek pembangunan 2020, Johari berkata RM3.74 bilion akan diperuntukkan untuk melaksanakan projek lanjutan air dan lanjutan elektrik di seluruh negara.

Ini termasuk Program Grid Bekalan Air Sarawak, menaiktaraf loji rawatan, takungan, pam air serta projek penggantian paip dan pembekalan rawatan air ke sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Di bawah Pelan Induk Elektrik Sarawak, RM1.45 bilion akan diperuntukkan untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik luar bandar selama 24 jam dari 91% hingga 97% menjelang akhir tahun 2020.

Johari turut menyatakan projek ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 isi rumah luar bandar serta 7,000 isi rumah di kawasan yang lebih jauh di mana sambungan itu akan menjadi sistem luar grid yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar.

Di bawah bajet 2020, peruntukan besar telah dibuat untuk membiayai projek-projek infrastruktur utama, termasuk kira-kira RM1.53 bilion untuk projek Jalan Kedua Trunk Sarawak, RM1.17 bilion untuk projek Jalan Pantai Sarawak dan RM500 juta bagi projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah.

Johari juga mengumumkan tambahan RM400 juta pada tahun 2020 bagi pelaksanaan aktiviti ekonomi digital. Kerajaan negeri telah menyediakan RM750 juta untuk membiayai program ekonomi digital.