Konsesi Pharmaniaga untuk mengedar ubat dan alat perubatan bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berakhir menjelang 30 November 2019 ini.
Walaubagaimanapun, untuk memastikan pengedaran berjalan seperti biasa, perkhidmatan Pharmaniaga masih akan digunakan selagi mana kabinet bersetuju untuk melaksanakan sistem terbuka.
Ini diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
KKM berkata selepas ini, sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai pihak melakukan kerja-kerja pengedaran ubat-ubatan dan alat-alat perubatan untuk negara.
Bulan Ogos tahun ini, terdapat pihak-pihak yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pengedaran ubat-ubatan di negara ini akan terjejas, sekiranya kerajaan masih belum membuat keputusan tentang isu konsesi ini.
Menurut mereka, kelewatan kerajaan membuat keputusan mungkin akan menjejaskan stok ubatan di hospital awam dan klinik di negara ini.
Pharmaniaga pula yakin dengan keupayaan mereka untuk meneruskan perkhidmatan kepada negara.
“Kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip meritokrasi dan kami yakin prestasi cemerlang kami akan menjadi faktor utama untuk meneruskan perkhidmatan sama ada melalui lanjutan perjanjian konsesi ataupun kontrak tender terbuka,” kata Pharmaniaga melalui sebuah kenyataan.