Syarikat dron Malaysia Aerodyne telah meraih RM125 juta (AS$30 juta) dalam pelaburan bulan ini.
Pusingan pelaburan kali ini dikendalikan bersama oleh InterVest dan Kejora Ventures, dalam Siri-B pelaburan.
Aerodyne berkata wang ini akan digunakan untuk meningkatkan kebolehan mereka untuk pasaran dunia.
VentureTECH, Gobi Partners, dan 500 Startups telah terlibat dalam pusingan pelaburan kali ini. Ini menyusuli pelaburan Siri-A yang telah berlansung lebih kurang 20 bulan yang lalu di mana pada kali itu, pelaburan pusingan itu dikendalikan oleh Axiata Digital Innovation Fund.
Aerodyne ada pusat pemasaran di Australia, Malaysia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Saudi Arabia, Indonesia, dan United Kingdom.
Sebahagian dana yang telah didapati dalam Siri-B ini adalah untuk terus berkembang di Jepun, India, Amerika Syarikat, dan Timur Tengah.
Aerodyne juga dijangka akan menggunakan dana ini untuk pembelian syarikat-syarikat terkait dengan industri dron (M&A) dan juga untuk melatih kakitangan baharu.
Aerodyne dilancarkan pada tahun 2014, dan menggunakan Kepintaran Buatan (AI) untuk menangkap data dan maklumat untuk tujuan penganalisa.
Ia mempunyai pelanggan dari segenap industri, termasuk, syarikat dari sektor gas dan minyak, sektor telekom, sektor tenaga boleh diperbaharui, sektor pembuatan, sektor infrastruktur, dan lain-lain lagi.
Tahun lepas, syarikat anak Malaysia ini telah membeli 60% saham AtSite, sebuah syarikat kipas turbine berpangkalan di Denmark yang dinilai sebanyak RM10.6 juta. Aerodyne berkata pembelian ini adalah untuk memberikan mereka pintu masuk kepada sektor tenaga boleh diperbaharui.
Menurut satu kertas penyelidikan terbitan Goldman Sachs, mereka menganggarkan sektor dron sedunia bernilai lebih RM420 bilion menjelang tahun 2020.
Disebabkan ini, Aerodyne mendapat perhatian pelbagai pelabur kerana sektor ini sedang berkembang pesat.
Selain itu, subset sektor ini, iaitu sektor dron untuk pertahanan juga dianggarkan bernilai sekitar RM300 bilion sedunia. Maka insentif untuk syarikat dron meneruskan usaha dalam mengembangkan sayap mereka dalam sektor dron pertahanan juga menjadi insentif penting untuk diteroka.